WAH! Bangga sungguh pengerusi bersama Bersih, Datuk S. Ambiga dengan
mendakwa perhimpunan mereka kali ini berjaya. Dia juga mendakwa 300,000
rakyat Malaysia turun menyertai Bersih 3.0 menuntut reformasi pilihan
raya.
Kalau hendak dicampur dengan peserta demonstrasi di Kuala Lumpur,
Melaka, Ipoh dan bandar-bandar lain pun, jumlah itu nampak sangat
dilebih-lebihkan. Mereka mahu menunjuk-nunjuk konon rakyat menyokong
perjuangan gerakan pembangkang itu.
Walhal yang datang dari Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan
Selangor itu pun sebenarnya ditaja guna wang kerajaan negeri di bawah
pakatan pembangkang. Mereka yang meramaikan perhimpunan kelmarin.
Bagaimanapun, wang rakyat dihabiskan golongan pembangkang. Hasrat dan
tujuan perhimpunan itu diadakan pun tidak tercapai. Tujuan mereka untuk
berhimpun di Dataran Merdeka sudah gagal.
Mereka gagal jadikan Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir di Mesir.
Tujuan 'duduk dan bantah' adalah strategi mahu bangkitkan sentimen
rakyat agar membenci kerajaan dan menolak Barisan Nasional dalam pilihan
raya akan datang.
Walaupun ramai yang menyertai perhimpunan kali ini, tetapi mereka kempunan untuk duduk di padang Dataran Merdeka.
Setelah dihasut dan dibakar dengan ucapan provokasi daripada pemimpin
pembangkang, perhimpunan yang dijanjikan berjalan secara aman, bertukar
menjadi kecoh dan ganas.
Peserta demonstrasi bagaikan dirasuk sehingga bertindak ganas dengan
menyerang dan mencederakan beberapa anggota polis dan petugas media.
Bukan setakat itu sahaja, kenderaan polis, motosikal dan harta awam
turut jadi mangsa.
Mereka rosakkan sekatan jalan dan kawat besi dalam semangat untuk
menawan Dataran Merdeka. Tetapi cita-cita mereka dihalang oleh semburan
air dan gas pemedih mata. Ramai peserta demonstrasi lari bertempiaran
mencari tempat berlindung.
Inilah tindakan yang dirasakan oleh peserta sebagai 'kenangan
terindah' buat mereka. Tetapi sebaliknya peristiwa 28 April lalu itu
adalah satu lagi hari malang kepada peniaga kawasan sekitar Dataran
Merdeka serta pemandu teksi.
Rezeki pada hari Sabtu untuk mereka telah dirampas oleh peserta demonstrasi.
Daripada gerak-geri dan sepanduk yang dibawa oleh peserta perhimpunan
itu menunjukkan mereka adalah ahli parti pakatan pembangkang.
Walaupun ada orang ramai yang menyertainya, jumlahnya tidak seramai
anggota parti pembangkang. Kalaupun mereka tidak suka kepada kerajaan
sekarang, mereka ada akal fikiran dan akan digunakan pada pilihan raya
umum nanti. Tak perlu melalak dan emosional di tengah jalan. Jelas
mereka tak mahu ikut menyertai perhimpunan itu.
Peserta yang berhimpun di Menara Berkembar Petronas, Jalan Tun Perak,
Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Negara kelmarin
jelas menunjukkan mereka adalah anggota PKR, DAP dan Pas.
Anggota parti pembangkang yang mendominasi perhimpunan ganas
kelmarin. Budaya ganas dan meluahkan perasaan di jalanan adalah cara
parti pembangkang bukan hanya kelmarin tetapi diwarisi sejak 40 tahun
lalu lagi.
Sikap sombong, bongkak dan degil itu diwarisi dan diajar kepada
generasi parti-parti itu sekarang. Renung kembali siapa yang cetuskan
rusuhan pada 13 Mei 1969 dan demonstrasi pelajar pengajian tinggi pada
1970-an.
Rakyat yang melihat gambar dan video aksi ganas peserta demonstrasi
kelmarin tidak terkejut dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat semalam yang mengucapkan tahniah kepada mereka yang
menyertai perhimpunan haram itu.
Kalau pemimpin-pemimpin pembangkang sendiri kelihatan bertindak
mengetuai perhimpunan ganas kelmarin, bayangkan bagaimana corak
pemerintahan kerajaan di bawah mereka jika berjaya memenangi pilihan
raya umum kelak.
Kalau mereka menghasut rakyat supaya tidak menghormati arahan
mahkamah, bertindak menyerang dan mencederakan anggota keselamatan,
bagaimana hendak diharap keamanan dan kestabilan akan terjamin di bawah
pimpinan pakatan pembangkang.
Selepas ini, seperti mana berlaku demonstrasi pada masa lalu maka
pihak pembangkang akan memusingkan cerita dengan mendakwa polis yang
bertindak ganas dalam menangani peserta perhimpunan Sabtu lalu.
Banyak cerita rekaan akan muncul. Tunggulah...
/HWA: utusan.com.my | 30/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan