7 Jun 2012

3.6 juta pengundi belum daftar

SEBAHAGIAN pegawai yang hadir pada program Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor 
*****
KUALA TERENGGANU 4 Jun - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) resah dengan sikap dingin 3.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi masih gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 600,000 orang diikuti beberapa negeri termasuk Johor (492,454), Wilayah Persekutuan (360,000), Perak (lebih 300,000) dan Kelantan (kira-kira 200,000).
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Terengganu merupakan negeri terendah dengan catatan hanya 46,000 orang yang belum berbuat demikian.
"Perkembangan ini menunjukkan masih ramai rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi," katanya kepada pemberita selepas program Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau merayu orang ramai yang termasuk dalam golongan itu agar mendaftar segera sebagai pemilih dan berharap 12.9 juta rakyat yang sudah berdaftar supaya segera menyemak semula daftar pemilih masing-masing dalam tempoh sebulan bermula Jumaat lalu.
Bagi tujuan itu, jelas beliau, SPR kini membuka talian telefon 03-88856565 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) 15888 selain laman web SPR bagi memudahkan mereka yang berkenaan membuat semakan semula dengan kadar segera.
"Kita harap mereka dapat membuat semak semula dalam tempoh sebulan ini untuk mengetahui di mana tempat mereka daftar dan mengundi.
"Tolong semak segera dan kemas kini mengikut alamat asal yang tepat, kita tak mahu timbul kekecohan pada hari pengundian nanti hanya kerana mereka tidak tahu alamat sebenar," jelasnya.
Wan Ahmad berkata, jika PRU-13 akan datang diadakan sebelum bulan puasa iaitu Julai, maknanya Parlimen akan dibubarkan Jun ini.
Mengenai persediaan SPR menghadapi pilihan raya umum, beliau memberi jaminan pihaknya sudah bersedia dan akan memastikan ia berjalan lancar walaupun menjangkakan pilihan raya umum kali ini lebih 'panas' dan mencabar.
/hwa: utusan.com.my | 5/6/12

Tiada ulasan: