7 Jun 2012

Menilai kerjasama politik Pas

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008), Pas telah membina kerjasama politik dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kerjasama politik ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).
Sehingga kini pakatan pembangkang terbabit belum didaftarkan secara rasmi dan masih tidak mempunyai satu simbol yang diterima pakai bersama.
Memang sukar bagi mereka untuk mendaftar secara rasmi dan menggunakan lambang yang sama kerana masing-masing masih "tidur sebantal tetapi mimpinya lain-lain".
Dalam istilah Arab, kerjasama politik disebut sebagai at-tahaaluf as-siyasi. Istilah inilah yang digunakan oleh Pas bagi menjustifikasikan gabungannya dalam pakatan terbabit.
Selama ini pendirian Pas menganggap haram bekerjasama atau bergabung dengan parti yang bersifat sekular. Justeru, gabungan Pas dengan parti-parti sekular terbabit telah menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya.
Apakah Pas mula mengamalkan sikap pragmatisme dalam hal ini? Jika demikian halnya maka kita ingin bertanya bukankah pragmatisme itu akan menyebabkan parti itu bersedia untuk mengubah dasar, prinsip dan haluan perjuangan semata-mata untuk mencapai maksud duniawi, itu kuasa politik?
Hakikatnya itulah yang berlaku pada Pas hari ini. Jika dulu Pas begitu lantang dengan pendiriannya menegakkan negara Islam dan mahu melaksanakan hukum hudud tetapi hari ini Pas memperjuangkan pula negara berkebajikan, padahal negara berkebajikan itu sudah lama diterapkan dalam dasar sosioekonomi negara.
Secara garis besarnya tujuan utama kerjasama pakatan pembangkang itu adalah semata-mata mahu memastikan UMNO dan BN terkubur dalam PRU-13 nanti.
Soal Pas memimpin atau menerajui kerajaan sekiranya pakatan menang bukan lagi keutamaan. Ini bermakna Pas bersedia untuk mengikut siapa sahaja yang jadi pemimpin. Ia sekali gus menggambarkan bahawa Pas bersedia menerima dasar yang digariskan oleh DAP atau PKR.
Pernah beberapa bulan lalu Pengarah Penyelidikan Pas, Dr. Dzulkefly Ahmad dalam satu program wacana di Shah Alam menyebut bahawa Pas sedia dipimpin oleh bukan Melayu. Ini jelas membuktikan bahawa Pas memang bersedia menjadi pengikut kepada rakan-rakan politiknya itu.
Baru-baru ini Pengerusi DAP, Karpal Singh mengisytiharkan selagi ada hayatnya beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.
Beliau menganggap dalam Perlembagaan negara tiada peruntukan yang menyebut hanya orang Melayu dibenarkan berbuat demikian. Memang benar Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut hal demikian.
Namun, ia tidak boleh dijadikan hujah untuk DAP membangkitkan isu sensitif ini. Ia adalah berkaitan warisan budaya negara dan 'kontrak sosial' yang telah dipersetujui pemimpin semua kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.
Ia juga selaras dengan kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri. Sebagai ketua negara baginda berhak melantik Perdana Menteri di kalangan orang Melayu dan Islam selaras dengan kedudukan kaum Melayu sebagai kaum majoriti dan juga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Amalan melantik ketua kerajaan di kalangan orang Melayu dan Islam juga telah lama diamalkan di negeri-negeri yang beraja.
Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin juga pernah melontarkan cabaran supaya UMNO meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan jawatan Perdana Menteri khas hanya untuk orang Melayu.
Sebaliknya Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak pembangkang tidak akan menyokong usaha untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan orang Melayu sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri dan mahu peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan negara dikekalkan.
Hakikatnya, kenyataan Karpal itu sebenar untuk mencabar pendirian pemimpin Pas sama ada bersetuju atau tidak dengan kenyataannya itu. Sikap dan pendirian pemimpin Pas yang telah berubah sejak bersama pakatan pembangkang itu menyebabkan pemimpin DAP lantang bersuara. PKR pula bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan hak orang Melayu.
DAP tahu bahawa tiada mana-mana pemimpin Melayu dalam pakatan itu yang berani menyanggah kemahuan mereka semata-mata bagi memastikan kesepakatan untuk menawan Putrajaya tidak tergugat.
Sejak merdeka perkara sensitif ini telah dijaga dan tidak dipersoalkan secara terang-terangan tetapi hari ini mereka umpama "kaduk naik junjung" mencabar orang Melayu yang selama ini telah banyak bertoleransi dalam politik tanah air.
Dalam posisi sedemikian maka mustahil Pas dapat menegakkan prinsip perjuangannya sekiranya ditakdirkan gabungan itu menang dalam pilihan raya nanti. Apa yang akan berlaku ialah krisis kepemimpinan pakatan pembangkang dan akan menyebabkan pentadbiran negara menjadi huru-hara.
Justeru, apa maknanya Pas berada dalam gabungan rapuh itu sekiranya parti itu tidak mempunyai kemerdekaan untuk memperjuangkan hasratnya melaksana dan mendaulat syariat Islam.
Jika Pas terus tunduk kepada kehendak rakan politiknya itu maka Pas boleh ditafsirkan telah membantu menegakkan kebatilan (al-bathil), dosa (al-ma'atsim) dan hal-hal yang diharamkan (al-maharim) kerana gabungan politik itu apabila berkuasa kelak akan terus mengekalkan undang-undang yang dianggap sekular dan kufur oleh Pas selama ini.
Justeru, Pas juga boleh ditafsirkan berada pada kedudukan parti yang cenderung kepada orang yang zalim seperti mana yang dituduhnya kepada UMNO kerana UMNO dikatakan bergabung dengan parti-parti bu kan Islam serta menegakkan hukum sekular.
Bukankah Pas selalu menyatakan bahawa Islam mewajibkan umatnya untuk menerapkan syariat Islam secara menyeluruh (kaffah) dan mengharamkan umatnya melaksanakan hukum kufur?
Wajarkah Pas berpelukan dengan DAP yang memang anti hudud dan penubuhan negara Islam? Lim Kit Siang dan Karpal Singh telah berulang kali, iaitu pada setiap kali Pas menyuarakan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud maka kedua-dua pemimpin utama DAP itu mengatakan bahawa negara ini mesti ditadbirkan secara sekular dan bukannya secara teokrasi.
Demikian juga wajarkah Pas yang mendukung perjuangan rakyat Palestin dan anti Zionis berpelukan dengan PKR yang penasihat parti itu, Anwar Ibrahim yang pernah mengeluarkan kenyataan bersetuju untuk melindungi keselamatan negara haram Zionis di bumi Palestin?
Jelaslah tujuan kerjasama Pas itu adalah bercanggah dengan prinsip perjuangan Pas selama ini. Ini bermakna kerjasama politik Pas dengan rakan-rakan politiknya yang sekular itu tidak menepati syara'. Justeru, ke arah mana sebenarnya perjuangan Pas?
Jika setakat mahu memperjuangkan negara berkebajikan maka kerajaan yang ada pada hari telah lama melaksanakan program yang bersifat membela kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat. Apakah Pas mahu menafikan apa yang dibuat oleh kerajaan itu tidak Islamik?
Penulis melihat adalah lebih aula atau lebih afdal Pas keluar daripada pakatan pembangkang dan berjuang seperti dahulu supaya Pas lebih dihormati oleh kawan dan lawan. Yakinlah kedua-dua rakan politiknya itu pasti tidak bersedia untuk mendukung hasrat Pas menegakkan undang-undang Islam seperti yang diperjuangkan Pas.
Justeru, ulama dalam Pas mesti bertanggungjawab mengembalikan Pas kepada prinsip perjuangan asal atau kepada 'fitrah dakwah' yang sebenar, bukannya hanyut dengan tipu daya rakan politiknya yang terlalu bernafsu memburu kuasa.
Ulama Pas juga tidak seharusnya terpedaya dengan golongan yang pro-Anwar dalam parti itu yang kini cuba menentukan haluan Pas mengikut kehendak mereka.
/hwa: utusan.com.my | 5/6/12

Tiada ulasan: