KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada
malam 2 Jun lalu seolah-olah melancarkan "perang" kempen Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) biarpun tarikh pilihan raya belum diumumkan. Anwar
melancar perang itu di Guar Perahu yang terletak di Parlimen Permatang
Pauh kawasan tradisi yang diwakilinya sejak bergerak aktif sebagai
pemain politik.
Parlimen Permatang Pauh diambil alih oleh isterinya, Datuk Seri Dr.
Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR beberapa penggal semasa Anwar
menjalani hukuman di Penjara Sungai Buluh atas kesalahan pecah amanah.
Seperti DAP, PKR juga dimonopoli oleh anak-beranak Anwar selaku Ketua
Umum parti itu tanpa melalui proses pertandingan?
Permatang Pauh bagi Anwar samalah dengan Parlimen Pekan, Pahang yang
diwakili oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwarisi
daripada bapanya, Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak
Hussain. Begitu juga sama Parlimen Gua Musang dengan Tengku Razaleigh
Hamzah dan mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Parlimen Kubang
Pasu dulunya. Kini Dr. Mahathir telah mengisytiharkan diri bersara
daripada politik tetapi kelihatan masih aktif berceramah di sana sini?
Apa yang mungkin menarik kalangan orang politik bukan sahaja di
Permatang Pauh ialah tentang usaha Anwar mengangkat diri sendiri dengan
mengaitkan dirinya dengan tokoh-tokoh pemimpin dunia termasuk Perdana
Menteri baru Turki, Pemimpin Hamas, tokoh Islam Yusof Qaradawi dan waris
kepada tokoh negarawan dan Bapa India, Mahatma Ghandi.
Daripada segi imej dan implikasi politiknya, apakah Anwar tidak
percaya dengan kebolehan dan ketokohan sendiri. Kenapa beliau mengheret
nama beberapa pemimpin dunia luar bagi membantu ceramahnya?
Ceramah tersebut yang lengkap dengan tayangan slide di layar gergasi
dijadikan sebagai latar belakang pentas tempat dia berceramah. Aksi itu
sebenarnya lebih mirip kepada lakonan solo pementasan teater.
Ceramah itu dirakamkan oleh blog KedahKini, tidak pula menunjukkan
orang ramai dan barisan pemimpin pakatan pembangkang yang hadir. Namun
para pemimpin lain termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
dijemput menampilkan diri bersama Anwar dipentas selepas ceramah
berakhir.
Dalam hubungan ini, saya teringat kepada seorang blogger dalam
tulisannya menyifatkan Anwar sebagai pelakon handalan yang sepatutnya
mendapat anugerah sebagai "Pelakon Terbaik" kerana pandai berlakon,
petah bercakap, mengata dan bermacam-macam tohmah yang dilemparkan
kepada kerajaan khususnya PM Najib yang mendapat kecaman dan menjadi
sasaran paling buruk darinya.
Dia bukan sahaja memperlecehkan semua dasar kerajaan sekarang kerana
tidak menurunkan harga minyak, menghapuskan PTPTN dengan memberikan
pendidikan tinggi percuma malah Anwar juga menyentuh soal-soal pribadi
yang melibatkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ia lebih bersifat satu tohmahan dan persepsi kerana isu-isu yang
ditimbulkan itu tidak pernah didakwa atau dibawa untuk pengadilan di
mahkamah misalnya.
Itulah kelebihan dan kepandaian tokoh pembangkang bernama Anwar
Ibrahim dalam mereka-reka cerita yang berupa tohmahan disampaikan kepada
rakyat seolah-olah isu yang dibangkitkan itu "real" dan telah melalui
proses pendakwaan undang-undang dan hukuman oleh mahkamah?
Malah pada satu peringkat yang mungkin menggelikan hati rakyat dan
orang ramai yang datang mendengar ceramah itu, bila Anwar bermonolog
siap dengan dialog khayalan ciptaannya sendiri bila dia berjaya kononnya
menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 dan Najib digambarkan sebagai
Ketua Pembangkang gelaran yang disandangnya sekarang.
Dia memberikan gambaran Najib seolah-olah tergagap tidak dapat
menjawab dan cuba melarikan diri bila ditanya oleh para wartawan tentang
pengumuman yang dibuat oleh beliau sebagai PM baru ketika mengumumkan
penurunan harga minyak di Parlimen sehari selepas dia mengambil alih
pentadbiran negara ini?
Ura-ura pembangkang untuk menurunkan harga minyak pada keesokan
harinya sebaik-baik mereka berjaya memenangi pilihan raya dan memerintah
negara bukan perkara baru yang pernah dijanjikan pakatan pembangkang
dalam manifesto kempen PRU-12 pada 2008 lalu?
Anwar juga berlakon bertanya pada seorang pendengar perihal hasil
minyak Petronas berjumlah RM80 bilion setahun ditolak dengan RM5 bilion
untuk menampung pengajian tinggi percuma dengan menghapuskan PTPTN: "80 -
5 berapa?"
Jawapan yang diterima tentulah 75 dan beliau terus memuji-muji orang
yang memberikan jawapan itu sebagai pandai dan bijak dibandingkan dengan
Najib: "80-5 jawabnya muflis." sindir Anwar diikuti dengan tepukan
sorak daripada hadirin.
Yang lebih melucukan bila Anwar bertanyakan nama orang yang menjawab
soalan itu, nama yang kedengaran diberikan ialah "Najib" yang membuat
dia terhenti dengan tawaran asalnya meminta individu berkenaan
memberikan nombor kad pengenalan dan alamatnya? Mungkin Anwar kantoi di
situ.
Sebelum ini, dalam siri ceramah politik membawakan nada yang sama di
kawasan Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini yang diwakili oleh anak
perempuannya, Nurul Izzah juga Naib Presiden PKR yang berlaku sedikit
kekecohan. Anwar juga menimbulkan perkara-perkara dan isu yang serupa.
Jadi bolehlah dijangkakan inilah modal dan isu politik Ketua
Pembangkang itu bagi PRU-13 yang tidak segan silu mendedahkan impian dan
cita-cita besarnya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan
mengherat dan membabitkan tokoh-tokoh pemimpin tertentu dunia yang
pernah ditemuinya.
Ia mungkin penuh gimik dan tokok tambah tanpa pengetahuan pemimpin
yang dibabitkan namanya itu? Inilah imej Anwar sebenarnya yang sudah
begitu yakin malah over confident dan bersifat takbur untuk memenangi PRU-13 dan merampas Putrajaya?
Macam mana jika ditakdirkan dengan izin-NYA dan kehendak Allah SWT,
beliau gagal sekali lagi selepas ura-ura "16 September" dulu kerana
rakyat khususnya majoriti 12 juta pengundi menolak gaya kepimpinan
beliau dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat dan amanah
untuk memerintah negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 8/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan