BAGI menentukan kejayaan dalam kepimpinan
seseorang pemimpin perlu menggerakkan rakyat mengikut arus kepimpinannya
tanpa menggunakan arahan yang berbentuk paksaan. Pemimpin yang berjaya
sering mendapat kerjasama daripada pengikutnya secara sukarela.
Pemimpin yang baik dapat mempengaruhi dan meyakinkan rakyat terhadap
kepimpinannya bukan memerintah dan mengarahkan rakyat sehingga
membebankan mereka. Pemimpin yang bijak menggunakan cara bagaimana
menarik pengikut dan rakyatnya melakukan sesuatu bukan mendesak.
Menonjolkan kehebatan kuasa dan menakutkan orang yang tidak sehaluan
dengan kepimpinannya bukan merupakan ciri kepimpinan dalam Islam.
Umat Islam perlu berhati-hati memilih pemimpin negara supaya mereka
tidak menjadi mangsa kepada pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Terdapat perbezaan antara dua bentuk kuasa politik yang diamalkan oleh
manusia.
Pertama dikenali sebagai socialized power iaitu kuasa politik yang digunakan untuk faedah masyarakat. Kuasa politik kedua dikenali sebagai personalized power iaitu menggunakan kuasa politik untuk kepentingan diri.
Konsep kepimpinan dalam Islam adalah bentuk socialized power
di mana para pemimpin Islam perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada
kepentingan rakyat dan pembangunan negara. Ciri-ciri kepimpinan begini
menjadi amalan RasulullahSAW, para Sahabat baginda dan para pemimpin
Islam masa silam.
Konsep kepimpinan dan pentadbiran Islam sepatutnya dijadikan asas
kepimpinan umat Islam supaya matlamat dan objektif perjuangan mereka
berada dalam landasan keredaan Ilahi. Malangnya, dalam perjuangan
politik masa kini kebanyakan parti politik umat Islam lebih menumpukan
perhatian kepada personalized power sehingga sampai ke tahap kehancuran negara.
Apabila sebuah parti politik tumbang maka tersiar dalam media masa
pelbagai bentuk korupsi dan kekejaman yang dilakukan oleh para pemimpin
negara Islam.
Peristiwa kejatuhan para pemimpin Arab dan dunia Islam masa kini
lebih menjurus kepada bentuk kuasa politik yang korup. Tambahan pula
kuasa politik yang diamalkan oleh negara tersebut adalah dalam bentuk
diktator. Rakyat tidak mempunyai suara untuk meluahkan perasaan
kekecewaan dan sebagainya. Hak kekayaan negara dijadikan hak milik para
pemimpin sehingga rakyat menjadi miskin dan menderita.
Dalam konteks negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat
merupakan penentu kepada sistem pemerintahan dan pucuk pimpinan negara.
Umat Islam sepatutnya memikir secara rasional dan berhati-hati dalam
aspek kepimpinan negara supaya maruah bangsa dan agama tidak tergadai
apabila para pemimpin yang terlalu cenderung kepada personalized power menerajui negara.
Apabila parti politik umat Islam sudah dikuasai oleh para pemimpin yang bercirikan personalized power
mereka akan menjadi tamak apabila mendapat kuasa. Ini disebabkan
pemikiran dan jiwa mereka telah disemat dengan bisikan bahawa kuasa
politik merupakan cara paling mudah untuk memiliki kekayaan dalam masa
yang singkat.
Pelbagai strategi diatur oleh mereka untuk mengorek perbendaharaan
negara ketika kuasa politik berada dalam tangan mereka. Hak
perbendaharaan negara dianggap sebagai harta karun yang boleh diagihkan
sesama kroni mereka.
Kegiatan manipulasi dan tuntutan palsu merupakan salah satu kegiatan
yang semakin ketara dilakukan oleh segelintir pemimpin politik dalam
negara ini. Kegiatan begini jika tidak diselidiki atau dibanteras akan
menjadi virus yang boleh merosakkan kewibawaan parti politik umat Islam.
Para pemimpin politik umat Islam sepatutnya memahami konsep
kepimpinan dan kuasa politik dalam Islam. Perkara berkaitan dengan
kepimpinan dan pentadbiran adalah aktiviti yang serius dalam Islam.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang
bermaksud, "Semua orang yang diserahi tanggungjawab oleh Allah atas
rakyat lalu ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya itu, nescaya syurga
itu akan haram baginya".
Kegagalan mematuhi etika dan prosedur berkaitan dengan kepimpinan dan
pentadbiran boleh menyebabkan rakyat menderita dan negara menjadi
lemah. Apabila kuasa politik umat Islam lemah maka negara Islam mudah
dicerobohi oleh musuh. Apabila musuh sudah menguasai negara Islam maka
sistem kepimpinan, pentabbiran dan institusi keagamaan akan hancur.
Perkara seperti ini sepatutnya difikirkan oleh para pemimpin parti
umat Islam. Apabila Islam dijadikan sebagai simbol atau objektif
perjuangan parti kenapa para pemimpin umat Islam masih cenderung kepada
perebutan kuasa daripada memikirkan masa depan agama, bangsa dan negara?
Jika Islam dijadikan slogan perjuangan, ceramah agama merupakan
aktiviti untuk meraih sokongan rakyat maka pemikiran dan jiwa juga
sepatutnya perlu dijuruskan kepada konsep kehidupan berzuhud apabila
kuasa politik sudah berada dalam genggaman tangan.
Jika Islam itu merupakan perjuangan parti kenapa keistimewaan dan
kesempurnaan Islam tidak dipertontonkan kepada masyarakat supaya
keimanan masyarakat Islam semakin bertambah dan keyakinan masyarakat
bukan Islam terhadap keupayaan Islam dalam kepimpinan negara dapat
disemat dalam pemikiran dan sanubari mereka?
Sekiranya parti politik umat Islam memikirkan kepentingan agama
melebihi kepentingan politik maka setiap pemimpin dan ahli politik umat
Islam amat berhati-hati dalam arena politik terutama berkaitan dengan
perpaduan umat dan keutuhan perlembagaan yang boleh memberi kekuatan
kepada agama, masyarakat dan negara Islam.
Keghairahan keterlaluan dalam arena politik kadang kala menyebabkan
pemimpin parti politik umat Islam merasai diri mereka gagah walaupun
hakikatnya parti politik mereka berada dalam ambang kehancuran.
Kehancuran yang sukar untuk dipulihkan akibat prinsip dan konsep
perjuangan parti sudah lama tersasar daripada garis panduan asal
pembentukan parti politik.
Slogan perjuangan sudah berubah akibat kurang faham sosio-budaya,
ekonomi politik semasa dalam negara. Hasilnya, parti politik
terumbang-ambing lantaran hilang prinsip dan konsep perjuangan parti.
Oleh itu setiap parti politik umat Islam perlu bermuhasabah dan
memperbaiki kembali kesilapan supaya kekuatan umat Islam dapat dibina
kembali dan syiar agama Islam tersebar seluruh pelosok negara.
/hwa: utusan.com.my | 8/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan