KOTA BHARU 7 Jun - Tindakan memohon derma daripada rakyat untuk
membina sesuatu projek, hanya wujud pada zaman penjajah kerana pemimpin
ketika itu bekerja secara sukarela dan dibantu rakyat yang menuntut
kebebasan.
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md.
Alwi Che Ahmad berkata, situasi itu bagaimanapun tidak lagi berlaku
sejak negara mencapai kemerdekaan kerana setiap negeri mempunyai sumber
pendapatan sendiri untuk menampung pembangunan yang dirancang.
Justeru katanya, dengan bayaran gaji, elaun dan kenaikan gaji tahunan
yang diterima setiap pemimpin kerajaan, mereka tidak berhak meminta
wang atau derma, sebaliknya bekerja keras mencari sumber kewangan untuk
manfaat rakyat.
"Kerajaan Pas Kelantan bukan kerajaan yang belum merdeka dan tidak
mempunyai cukai pendapatan atau langsung tidak ada sumber pendapatan.
"Kalau seorang Menteri Besar itu bekerja secara sukarela, maka memang
elok rakyat memberi zakat kepadanya. Tetapi keadaan tersebut tidak
berlaku kerana kesemua mereka termasuk Exco kerajaan negeri menerima
gaji.
"Jadi bagi saya, Kerajaan Pas Kelantan itu bagaikan kerajaan Abu
Nawas yang tidak ada tujuan selain membuat helah untuk meraih simpati
daripada rakyat kononnya mereka telah dizalimi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Md. Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas
mengulas mengenai desakan rakyat Kelantan terhadap Menteri Besar, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli Exconya untuk menunaikan segala projek
yang dijanjikan sejak 22 tahun lalu.
"Perkara itu semuanya terletak di tangan rakyat Kelantan. Kalau
pemimpin dungu yang dipilih maka dungulah jadinya, begitu juga kalau
kita mahu seorang pemimpin yang pekak maka tahapnya tetap pekak,"
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 8/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan