BAGAN DATOH 14 Jun - Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan
golongan profesional, sebaliknya cukup yakin terhadap peranan penting
kumpulan itu dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan sekali gus membantu
merealisasikan matlamat Wawasan 2020.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
peranan golongan itu bukan sahaja diperlukan dalam sektor swasta, malah
mereka memainkan peranan penting bagi mentransformasikan sektor awam.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha
bersungguh-sungguh untuk bekerjasama dengan golongan intelek dan
profesional dalam menjayakan program transformasi negara.
‘‘Usaha sebegitu penting untuk kerajaan memastikan kesinambungan
kepimpinan negara dapat diteruskan oleh golongan profesional yang mampu
meneruskan dasar-dasar murni kerajaan.
‘‘Dalam menjayakan transformasi negara misalnya, kerajaan memerlukan
golongan profesional terutamanya generasi muda supaya apa yang kita
hasratkan dapat memenuhi harapan generasi masa hadapan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian ketika
menyempurnakan ‘Program Jom Ronda’ anjuran Pejabat Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional Daerah Hilir Perak di Hutan Melintang di sini malam
tadi.
Sempena program itu, Ahmad Zahid turut menyertai rondaan Skim Rondaan
Sukarela (SRS) bersama kira-kira 300 ahli Rukun Tetangga Taman Seri
Ishaq Seri Melintang di sini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan pimpinan BN sejak sekian lama
mewujudkan dasar-dasar pendidikan dan sosial bagi melahirkan lebih ramai
golongan profesional yang mampu menjadi penyumbang dalam agenda
memajukan negara.
/hwa: utusan.com.my | 15/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan