17 Jun 2012

Kemurkaan Sultan Ibrahim patut jadi pengajaran

JOHOR BAHRU 14 Jun - Kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin perlu menjadi pengajaran kepada pemimpin Pas itu agar tidak bertindak di luar batasan.
Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Abdullah Md. Yusuf berkata, baginda menterjemahkan kegusaran seluruh rakyat negeri ini yang bimbang dengan tindakan biadab Mohammad Nizar yang mempertikaikan bidaan RM520,000 untuk nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor.
"Ini menunjukkan pemimpin Pas khususnya Mohammad Nizar yang merupakan orang Melayu dan selaku Penolong Pesuruhjaya Pas Perak itu begitu dangkal pemikirannya dan tidak menghormati Rukun Negara menerusi rukun kelima iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
"Tindak-tanduk dia bukan sahaja mengundang rasa murka Sultan, malah menghiris hati seluruh rakyat negeri ini. Kemarahan ini telah kita terjemahkan pada Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia yang melibatkan kira-kira 30,000 rakyat di Istana Pasir Pelangi Ahad lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia, A. Rahman Mahadi berkata, segelintir orang Melayu kini sudah tidak mempunyai adab sopan dan secara tidak langsung tingkah laku mereka turut diraikan oleh bukan Melayu.
Katanya, orang Melayu sebenarnya yang memperlekehkan raja-raja di negara ini hingga bangsa lain besar kepala dan seterusnya tidak menghormati institusi raja.
"Secara jujur kami berasa sedih dengan apa yang berlaku kerana segelintir orang Melayu beragama Islam tidak lagi menghormati bukan sahaja para pemimpin malah raja dan sultan," katanya.
Sehubungan itu A. Rahman mengharapkan, kerajaan yang masih mempunyai mandat agar melaksanakan Akta Hasutan bagi mengekang tindak-tanduk dan perilaku yang mencemarkan imej negara daripada berulang.
Presiden Persatuan Pengusaha Kecil Sederhana Johor Selatan, Teh Kee Sin pula menegaskan, semua ketua masyarakat dan wakil rakyat harus menghormati institusi diraja sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Sultan Johor memang dicintai oleh rakyat jelata negeri ini dan saya setuju mengenai apa yang dikatakan Sultan Ibrahim mengenai permohonan maaf bukan sahaja perlu dibuat kepada baginda.
"Kenyataan oleh Mohammad Nizar itu turut menyinggung rakyat negeri ini dan beliau perlu membuat permohonan maaf terbuka kepada kami semua," katanya ketika dihubungi.
/hwa: utusan.com.my | 15/6/12

Tiada ulasan: