
NAJIB Tun Razak diberi penerangan
mengenai telefon bimbit jenama Huawei sambil diperhatikan oleh Cha Xi
(kanan) dan Victor Wang (empat dari kiri) pada majlis perasmian Pusat
Latihan Global Malaysia Huawei (MGTC) di Cyberjaya, Selangor, semalam. -
UTUSAN/HANAFI KHAMIS
*****
CYBERJAYA 14 Jun - Penubuhan Pusat Latihan Global Malaysia (MGTC)
Huawei di sini, membuka ruang kepada negara memiliki 10,000 tenaga kerja
profesional dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi
tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat latihan
pertama yang ditubuhkan luar daripada China itu bertujuan melatih tenaga
pakar dengan latihan teknologi terkini dalam bidang telekomunikasi dan
ICT
Beliau berkata, manfaat penghasilan tenaga mahir itu boleh
dipasarkan kepada pelanggan-pelanggan Huawei di seluruh dunia termasuk
di rantau Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin.
Menurutnya, MGTC Huawei juga secara tidak langsung dapat menyumbang
sebanyak RM1.2 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang
2020.
“Komitmen pusat latihan global ini sedang direalisasikan melalui
pelbagai program bakat seperti Makmal Latihan Rujukan Huawei di Pusat
Pembangunan k-Pekerja yang telah ditubuhkan dengan kerjasama Perbadanan
Pembangunan Multimedia (MDeC).
“Ia turut melibatkan program MSC Malaysia MyUniAlliance yang
meliputi Train-the-Trainer (Melatih Jurulatih), kurikulum universiti dan
Makmal Latihan Universiti Huawei (HUTL) dengan perkongsian 10
universiti tempatan di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat
latihan global syarikat telekomunikasi terkemuka dari China itu, di sini
hari ini.
Hadir sama, Duta Cina ke Malaysia, Chai Xi; Pegawai Utusan Khas
Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Naib Presiden Kanan
Huawei, Victor Wang; dan Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman
(MoU) antara Huawei dan 10 universiti tempatan yang terpilih sebagai
permulaan penubuhan HUTL.
Universiti tersebut ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL);
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas); Universiti Multimedia (MMU); Universiti Sains Malaysia (USM);
Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka
(UTeM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknologi
Petronas (UTP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Beliau berkata, komitmen untuk melatih golongan profesional turut
merangkumi Biasiswa Huawei MSC Malaysia, Kem Kerjaya untuk graduan yang
baru menamatkan pengajian di universiti dan program persijilan MyProCert
untuk pekerja profesional.
“Program ini akan menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia dilatih
dan dilengkapi dengan pengetahuan terkini dalam bidang komunikasi dan
ICT yang dapat membuka ruang kepada mereka berkhidmat di peringkat
antarabangsa selain dalam negara.
“Hasilnya nanti, kita akan mendapat faedah daripada tenaga kerja
terlatih untuk membantu memacu ekonomi negara menjelang 2020," katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru lebih ramai pemain industri khususnya
sektor swasta mengikut jejak langkah Huawei membangunkan tenaga kerja
terlatih dalam bidang ICT di negara ini.
Sementara itu, Wang berkata, pihaknya melabur sebanyak RM90 juta
dalam bentuk penyediaan kemudahan dan infrastruktur untuk membangunkan
bakat dalam bidang ICT di negara ini sejak 2010.
“Ini merupakan satu daripada strategi kami untuk membantu meletakkan
Malaysia sebagai hab latihan global ICT bertaraf dunia, Huawei amat
menghargai kerjasama kerajaan Malaysia dalam usaha membangunkan bakat
ICT negara ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 15/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan