26 Jun 2012

DAP gagal jaga kepentingan Melayu Pulau Pinang

PULAU PINANG 24 Jun - Sikap lepas tangan kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap hal ehwal agama Islam di negeri ini menyebabkan umat Islam menghadapi pelbagai kesukaran dalam menjalankan urusan mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, masalah terbaru membabitkan 300 peguam syariah di negeri ini yang terpaksa menjalankan amalan guaman syariah tanpa tauliah Majlis Agama Pulau Pinang (MAIPP) merupakan bukti kegagalan DAP menjaga kepentingan orang Melayu.
"Isu membabitkan hal ehwal agama Islam di negeri ini semakin parah dan kesannya terpaksa ditanggung orang Melayu dan orang Islam yang lain.
"Semua ini berpunca daripada jawatan Yang Dipertua (YDP) MAIPP yang tidak diisi dan menyebabkan banyak perkara tertangguh dan merugikan orang Islam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Rumah UMNO Bukit Gelugor dan melawat rumah penduduk miskin dan orang tua, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin yang juga Penasihat Khas Kementerian Luar Bandar dan Wilayah berkata, masalah yang berpunca daripada kemelut pelantikan YDP MAIPP itu perlu diselesaikan segera kerana sudah berlarutan hampir tujuh bulan.
"Pada mulanya, mereka menyerahkan nama calon untuk dilantik menjadi YDP MAIP namun setelah diperkenankan, mereka tidak setuju pula dan mengakui kesilapan yang dibuat dan mencadangkan nama lain.
"Kerajaan negeri harus faham, ini bukan perkara main-main kerana mereka berurusan dengan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Rumah UMNO RM750,000 itu, Zainal Abidin berkata, ia akan berfungsi sebagai pusat khidmat parti itu kepada rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gelugor.
"Walaupun UMNO kini menjadi pembangkang di sini, usaha membantu rakyat perlu diteruskan kerana jika hendak mengharap kerajaan negeri turun padang melawat rumah penduduk yang daif, saya tidak tahu bila mereka akan lakukannya," katanya.
Menurut Zainal Abibin, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Pusat Giat Mara bagi membaiki empat rumah penduduk yang mengalami kerosakan dan bumbung bocor dengan perbelanjaan antara RM5,000 dan RM11,000.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

Tiada ulasan: