26 Jun 2012

Kerjasama politik elak perpecahan

Mukadimah
PELBAGAI usaha telah dirintis bagi membolehkan wujudnya tahaluf siasi (kerjasama politik) antara UMNO dan Pas yang sekali gus akan memastikan perpecahan di kalangan orang Melayu tidak bertambah parah. Malangnya, kerjasama itu sehingga kini tidak menjadi kenyataan kerana terdapat di kalangan pemimpin kanan Pas yang menentang usaha berkenaan.
Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM baru-baru ini, bekas Naib Presiden Pas, DATUK MOHD. NAKHAIE AHMAD menegaskan sudah sampai masanya digerakkan
kuasa ketiga yang gigih berdakwah untuk membetulkan kepincangan politik yang terjadi.
UTUSAN: Apakah maksud tahaluf siasi dalam sejarah Islam dan adakah Piagam Madinah itu permulaan awal dalam melaksanakan kerjasama politik?
MOHD. NAKHAIE: Tahaluf siasi adalah perjanjian politik iaitu perjanjian bekerjasama di dalam satu pakatan untuk mencapai tujuan politik tertentu yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat.
Sebenarnya, kerjasama politik ini sering dilakukan di zaman Rasulullah SAW dan Piagam Madinah itu bukan satu-satunya dan tidak pula yang terawal. Ia diawali oleh berbagai kerjasama lain sebelum Piagam Madinah. Kerjasama berlaku antara Islam sesama Islam yang dikenali sebagai baiah dan antara Islam dan bukan Islam.
Pertimbangan apa yang digunakan bagi membolehkan kerjasama politik itu dilaksanakan?
Terdapat dua keterangan yang bertentangan daripada sumber hadis mengenai kerjasama politik ini. Satu sumber menyebut bahawa tiada kerjasama di dalam Islam.
Tetapi di dalam hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari menyatakan, Ashim memberitahu, katanya: “Aku berkata kepada Anas bin Malik, adakah sampai kepada kamu bahawa Nabi SAW bersabda bahawa tiada tahaluf di dalam Islam." Anas berkata: “Nabi telah bertahaluf antara orang-orang Quraisy dan Ansar di rumahku."
Apa yang dapat dirumuskan daripada keterangan yang bertentangan itu, bahawa terdapat dua fenomena bagi kerjasama politik itu. Yang tidak ada di dalam Islam dan tidak dibenarkan adalah kerjasama yang bertujuan menimbulkan keadaan yang tidak baik, membawa kepada kekacauan atau dengan perkataan lain, menimbulkan fitnah, memecahbelahkan perpaduan umat dan melemahkan kekuatannya.
Tetapi kerjasama yang bertujuan menegakkan keadilan dan kebaikan, mengukuh perpaduan, membina kesejahteraan hidup, menolong yang lemah dan teraniaya, adalah dibenarkan.
Kerjasama politik di dalam Islam bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia adalah perjanjian kerjasama untuk kebaikan, keadilan, keamanan dan kesejahteraan. Sudah tentu tujuan ini menuntut supaya kandungan perjanjian itu mestilah adil, saksama dan mampu diterjemahkan dalam realiti. Ia mestilah perjanjian yang bertulis dan diakui oleh pihak-pihak yang terlibat.
Adakah kerjasama politik UMNO dengan kaum-kaum lain dibenarkan oleh syarak?
Waktu persefahaman antara kaum dilakukan lebih 50 tahun dahulu, UMNO mewakili majoriti orang Melayu. Hasil pilihan raya umum pertama menunjukkan keadaan itu.
Ertinya, UMNO adalah wakil mutlak orang Islam di negara ini. Bagi memastikan kemerdekaan negara dicapai dan keamanan ditegakkan serta untuk mengelak berlaku huru-hara menjelang kemerdekaan, kerjasama antara kaum diwujudkan. Ia adalah suatu kerjasama politik yang wajar dan menepati kehendak Islam, memandangkan negara ini bermasyarakat majmuk.
Apa lagi kandungan kerjasama itu diabadikan dalam Perlembagaan negara yang meletakkan Islam berada di posisi yang mantap sebagai agama negara.
Di dalam perjanjian kerjasama antara kaum itu, UMNO yang mewakili umat Islam berada di dalam keadaan yang kukuh dalam kepimpinan antara kaum. Ia menjadi tulang belakang kepada perpaduan rakyat dari pelbagai kaum. Dari segi politiknya, ia sama dengan Piagam Madinah yang memperuntukkan umat Islam berada di posisi kepimpinan utama.
Sebarang kerjasama baru yang melibatkan orang Islam dengan orang bukan Islam, haram diadakan jika menyebabkan kedudukan umat yang mantap ini terganggu. Melainkan jika kerjasama itu menjamin kedudukan politik umat Islam yang lebih baik dan kukuh daripada yang ada sekarang.
Kandungan perjanjian baru itu mestilah dikemukakan untuk diteliti oleh masyarakat Islam bagi membuktikan bahawa ia lebih baik dan kukuh bagi memelihara kepentingan Islam dan umat Islam serta mewujudkan perseimbangan dan kestabilan politik di negara ini.
Perseimbangan dalam pengurusan hubungan antara kaum, keamanan dan kestabilan politik adalah penting bagi menegakkan yang makruf dan mencegah mungkar. Juga bagi membina kehidupan sejahtera.
Kerjasama antara UMNO dengan pelbagai parti yang dimeterai dalam Perlembagaan negara itu, terbukti keberkesanannya. Negara berada di dalam keadaan aman dan stabil dari segi politik.
Keadaan ini sangat kondusif bagi melaksanakan dasar-dasar pembangunan untuk kesejahteraan semua rakyat. Ia ternyata dapat melonjakkan negara ini sebagai sebuah negara Islam yang maju di dunia.
Berdasarkan pengalaman Datuk dalam Pas dan UMNO, apakah tiada ruang untuk diadakan muzakarah antara kedua-dua parti bagi mewujudkan perpaduan ummah?
Saya berada di dalam Pas selama 12 tahun dalam era kepimpinan ulama. Kalau di zaman Dr. Burhanuddin Helmi dan Tan Sri Mohd. Asri Muda, falsafah perjuangan Pas agak jelas iaitu kebangsaan Melayu berteraskan Islam.
Tetapi di era kepimpinan ulama, falsafah perjuangan Pas adalah kabur. Islam diungkap secara umum iaitu perjuangan Pas berdasarkan Islam. Sedangkan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah itu terdapat pelbagai tafsiran terutama yang berkait dengan politik.
Tafsiran itu perlu untuk membolehkan kehendak al-Quran dan sunnah itu diaplikasikan dalam realiti kehidupan yang berbeza dan pelbagai.
Pas tiada keupayaan ilmiah untuk mengungkapkan tafsiran politik Islam bagi mendepani realiti masyarakat Malaysia yang berbeza daripada realiti masyarakat di negara-negara lain. Justeru, Pas lebih banyak berpolitik mengikut sentimen dan semangat yang disubur untuk memperjuangkan Islam. Semangat dan sentimen semata- mata tidak membawa petunjuk bagi menggerakkan kerja yang bermatlamat.
Kerja-kerja politik bertunjangkan sentimen dan semangat semata-mata sering terseret oleh isu dan bukan tujuan dan matlamat.
Pas sekarang diheret oleh isu menjatuhkan UMNO dan merebut Putrajaya. Matlamat Islam yang diperjuangkan bukan sahaja kabur, tetapi banyak yang sudah digugurkan untuk menarik perhatian orang bukan Islam supaya menyokong Pas untuk ke Putrajaya bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika kuasa semata-mata yang menjadi matlamat, sudah tentu Rasulullah SAW sejak permulaan dakwah lagi, menerima tawaran kaum Quraisy untuk dirinya menjadi raja bagi seluruh bangsa Arab. Tetapi Nabi SAW menolak tawaran itu, kerana tidak memenuhi matlamat dakwah baginda.
Ruang untuk berpolitik secara wajar dan rasional bukan tidak ada, tetapi Pas sendiri tidak mahu menoleh untuk menggunakan peluang itu. Dalam keadaan politik Pas seperti ini, kerjasama Pas dan UMNO untuk memantapkan politik umat Islam, tidak menjadi keutamaan Pas.
Dalam pemikiran para pemimpin dan aktivis Pas, UMNO mestilah diganyang terlebih dahulu. Jika UMNO hancur, orang UMNO akan difatwakan wajib menyertai Pas.
Inilah pemikiran simplistik Pas dalam isu perpaduan umat. Pada hal di lapangan, muncul kumpulan yang sedang berusaha mewujudkan parti Islam alternatif yang keluar daripada imej parti Islam naif yang dibawa oleh Pas.
Pandangan Datuk berhubung kerjasama politik antara Pas dengan DAP iaitu sebuah parti bukan Islam?
Kajian yang dibuat oleh Munir Ghadhaban dalam buku bertajuk Al-Tahaluf al-Siasi Fi al-Islam terbitan Dar Al-Salam, 1999, halaman 173, merumuskan tiga jenis kerjasama di zaman ini yang termasuk dalam kategori haram.
Pertama, kerjasama yang membolehkan musuh Islam memporak-perandakan gerakan Islam, sekiranya telah diketahui ia tidak bersimpati kepada Islam dan menaruh dendam terhadapnya.
Kedua, kerjasama yang melibatkan akidah dan pemikiran, umpamanya yang melibatkan kompromi terhadap aliran pemikiran yang bertentangan dengan Islam seperti fahaman pluralisme.
Ketiga, kerjasama yang membawa kepada perpecahan umat Islam dan merendahkan kedudukannya, akibat perbezaan pendapat, sehingga berlaku peperangan sampingan antara masyarakat Islam.
Pas terlibat dalam kerjasama yang haram ini daripada ketiga-tiga jenisnya. Langkah Pas menukar perjuangan politiknya untuk menyesuaikannya dengan pendirian DAP adalah suatu kesilapan besar, pada hal DAP tidak berganjak untuk menegakkan Malaysian Malaysia yang banyak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.
Perlembagaan yang wajib dipertahankan oleh umat Islam dan wajib diperjuangkan setiap peruntukan mengenai kedudukan Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja, serta mengisinya dengan tafsirannya sebenar. Sikap berdiam diri terhadap faham pluralisme yang dipromosikan oleh sekutunya, juga sesuatu yang menghairankan.
Apakah komen terhadap tindakan sesetengah pemimpin Pas menuduh UMNO parti yang memperjuangkan asabiyyah atau kaumiyyah (perkauman sempit)?
Maksud asabiyyah yang terlarang telah dinyatakan dengan jelas sekali oleh Rasulullah SAW iaitu melakukan kezaliman untuk menolong sesuatu kaum atau golongan atau individu. Tetapi asabiyyah dalam pengertian memanfaatkan persamaan, bangsa, agama dan budaya untuk membina kekuatan bagi mendukung perjuangan yang adil dan berusaha meningkatkan kualiti hidup sesuatu kaum secara adil supaya tidak terpinggir daripada arus kemajuan, menurut Ibn Khaldun, bukan sahaja tidak dilarang, tetapi juga menjadi prasyarat bagi kebangkitan sesuatu tamadun.
Kelemahan Pas daripada aspek ilmiah menyebabkan Pas tidak memahami asabiyyah dalam konteksnya yang betul. Para pemimpin Pas terkeliru dalam persoalan ini.
Nasionalisme Melayu dari segi falsafahnya tidak melibatkan asabiyyah yang terlarang. Apa lagi Melayu yang dimaksudkan itu berteraskan unsur utamanya iaitu Islam dan bukan keturunan. Justeru, orang Cina atau India boleh diterima sebagai kaum Melayu jika beragama Islam dan menjalankan kehidupan sebagai orang Melayu/Islam. Adakah ini boleh dianggap rasis atau perkauman?
Melayu yang diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin adalah sebagai rupa bangsa bagi rakyat negara ini. Tetapi generasi baru Pas tidak lagi memahami falsafah perjuangan generasi terdahulu di kalangan para pemimpin Pas yang dihormati oleh kaum Melayu. Dr. Burhanuddin sendiri menafikan perjuangan nasionalisme Melayu sebagai asabiyyah.
Pada hemat Datuk apakah jalan keluar daripada kemelut politik yang melibatkan pertentangan sesama Islam sekarang?
Kemelut politik yang berlaku sekarang berpunca dari beberapa sebab. Pertama, terhakisnya kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Sungguhpun UMNO mempunyai gagasan yang baik untuk pembangunan negara dan terbukti kejayaannya, tetapi UMNO banyak melakukan kesilapan.
UMNO tidak mendidik dan mentarbiahkan ahli-ahlinya supaya berpegang teguh kepada tujuan UMNO ditubuhkan dan memahami nasionalisme Melayu secara mendalam untuk diberikan pula kefahaman kepada masyarakat.Generasi baru UMNO banyak yang mengambil kesempatan daripada kejayaan UMNO untuk kepentingan diri dan melakukan pelbagai kemungkaran.
UMNO mewariskan kepada generasi mudanya sebuah organisasi politik, tetapi tidak mewariskan perjuangannya. Kejayaan bagi ahli-ahli UMNO tertumpu kepada kejayaan individu menaiki tangga dalam hierarki kepimpinan UMNO dan kerajaan atau sebanyak mana kekayaan dapat dikumpulkan.
Kejayaan mencapai matlamat perjuangan UMNO, tidak lagi menjadi tumpuan yang utama.
Kedua, masyarakat Melayu melakukan kesilapan dengan mengamalkan politik kebencian dan langkah-langkah membendungnya itidak diambil. Politik maki-hamun, takfir (kafir-mengkafir), fitnah-memfitnah dan sebagainya diamalkan tanpa apa-apa peringatan oleh mana-mana pihak.
Ketiga, pembangkang yang terdiri daripada Pas dan PKR tidak mampu menampilkan sifat-sifat sebagai alternatif yang baik dan tidak mempunyai gagasan politik untuk penyatuan rakyat dan kemajuan negara yang meyakinkan. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dahulu, mereka mencapai kejayaan bukan atas keyakinan rakyat kepada agenda mereka, tetapi hanya kerana terlalu kritikal terhadap UMNO. Setelah menang, mereka gagal menampilkan gagasan dan imej yang meyakinkan. Di tambah dengan pelbagai skandal di kalangan pemimpin mereka.
Suasana kezaliman ini begitu ketara dalam amalan politik masyarakat Melayu. Kaum bukan Melayu mengambil kesempatan yang keterlaluan untuk kepentingan mereka sehingga menimbulkan kebimbangan orang Melayu. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang sihat bagi negara ini.
Masyarakat Melayu perlu bersatu bagi menjaga kestabilan dan perimbangan dalam politik negara ini. Untuk mencapai kembali keadaan itu, mereka memerlukan kuasa ketiga yang bergerak membetulkan keadaan. Kekuatan ketiga itu hendaklah bersifat dakwah yang berusaha membetulkan kepincangan politik dan mengingatkan masyarakat Islam mengenai bahayanya.
Gerakan dakwah harus bergerak mengikut disiplin dakwah. Iaitu melaksanakan kerja dengan bijaksana, menasihati rakyat dengan cara yang baik dan berdialog dengan pintar dan penampilan yang meyakinkan.
Seelok-eloknya gerakan ini diselia di bawah kuasa Raja-Raja Melayu dan dibiayai oleh dana zakat, wakaf dan sebagainya.
Hasil kutipan zakat sepatutnya mengutamakan pembangunan rohani, minda dan kebajikan umat. Bukan untuk pembangunan fizikal yang menjadi pengkhususan sektor ekonomi. Jika hanya sebahagian daripada dana yang besar itu digunakan untuk dakwah, gerakan dakwah tidak akan terpinggir dan akan bergerak aktif dalam arus perdana perjuangan umat.
/hwa: utusan.com.my | 26/6/12

Tiada ulasan: