KEPUTUSAN pilihan raya umum 2008 dikatakan mengubah landskap politik
negara. Kejayaan agak besar yang dicapai oleh pakatan pembangkang telah
memungkinkan arena politik berhadapan dengan satu situasi yang selama
ini tidak pernah dialami.
Kehilangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen
serta mengalami kekalahan mengejut di Kedah, Pulau Pinang, Perak (selama
11 bulan) dan Selangor telah memungkinkan pembangkang yang dianggotai
Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas merasakan mereka cukup kuat.
Justeru kerajaan BN terpaksa bergelut dalam pertembungan politik yang
menyaksikan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi memastikan
mereka mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam menghadapi keghairahan pembangkang, rakyat sewajarnya
diperingatkan politik menghalalkan cara bukan budaya politik negara ini.
Malahan jika ini dibenarkan ia boleh membawa bencana kepada masa depan
negara.
Oleh itu kehadiran buku bertajuk 'Moderat - Antidot Barisan Nasional
Menentang Politik Menghalalkan Cara' tulisan Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim tepat pada masanya.
Moderat atau kesederhanaan sememangnya menjadi pegangan BN sejak
merdeka lagi dalam memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan mainan
politik melampau oleh mana-mana pihak.
Buku setebal 308 muka surat itu yang akan dilancarkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, hari ini mampu
memberikan 'pedoman' dan pemahaman kepada rakyat untuk memahami betapa
pentingnya mereka menolak corak politik yang diamalkan oleh pembangkang.
Dr.Mashitah mengupas soal moderat ini dengan terperinci dan ia bukan
sahaja dilihat dari sudut politik semata-mata tetapi juga ajaran Islam.
Selain memuatkan ucapan Perdana Menteri mengenai moderat, ia turut
mengandungi kupasan menarik mengenai amalan politik pembangkang.
Antara bahagian yang pasti akan mendapat perhatian adalah Bahagian 3
yang mengandungi enam tulisan Dr.Mashitah mengenai mainan politik
pembangkang termasuklah merobek mitos buku jingga dan konsep Negara
Berkebajikan yang diuar-uarkan oleh Pas.
Sememangnya, dalam BN berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib
semua kaum di negara ini, parti itu berhadapan dengan pakatan
pembangkang yang begitu teruja untuk menawan Putrajaya.
Berikutan itu, pendekatan politik moderat atau sederhana yang selama
ini menjadi tunjang utama kekuatan negara berada dalam kedudukan
terancam. Apa yang mengecewakan, dalam keghairahan itu pembangkang
bersedia melakukan apa sahaja termasuklah memainkan isu-isu yang boleh
memecah-belahkan rakyat.
Mereka membuat janji yang bukan-bukan, soal sama ada janji itu mampu
ditunaikan atau tidak, ia soal kedua, apa yang penting meraih dahulu
sokongan rakyat. Dalam soal ini, sudah tentulah rakyat perlu
diperingatkan supaya jangan terpedaya dengan politik pembangkang kerana
ia akhirnya akan merugikan mereka. Apa yang berlaku di Selangor, Pulau
Pinang dan Kedah contohnya, sudah menjadi bukti bagaimana pembangkang
gagal menunaikan janji biar pun sudah diberi kuasa.
Turut menarik perhatian kita, bagi sesiapa yang membaca buku tulisan
Dr.Mashitah ini, mereka akan memahami bagaimana segala yang dijanjikan
oleh pembangkang dalam buku jingga hanyalah angan-angan kosong. Selain
itu, mereka juga akan dapat memahami sikap sebenar politik Pas yang
semakin bercelaru kerana keterujaan untuk memburu kuasa bersama PKR dan
DAP.
Selepas meninggalkan perjuangan negara Islam, Pas kini tertumpu pula
kepada negara berkebajikan. Inilah sikap politik tidak konsisten Pas
yang akan dikupas oleh Dr.Mashitah.
Selain buku 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik
Menghalalkan Cara', Perdana Menteri juga akan melancarkan buku bertajuk,
'Langit Terbuka' yang merupakan koleksi rencana tulis Dr.Mashitah dalam
akhbar-akhbar. Buku ini mempunyai tujuh bab berkaitan dengan politik,
sosial dan agama.
Buku ini sarat dengan kupasan-kupasan menarik dan informasi berguna
untuk dijadikan rujukan oleh pembaca, bukan sahaja bagi mengenal sikap
politik pembangkang khususnya Pas tetapi juga panduan untuk kita
mencapai kemajuan dalam kehidupan yang diredai Allah SWT.
Apa pun, kehadiran dua buah buku ini amat berguna kepada mereka yang
terlibat dalam politik tidak kiralah pemimpin mahupun penyokong untuk
memahami realiti terkini politik negara. Ia dihasilkan bukan semata-mata
untuk kepentingan politik BN mahupun UMNO tetapi bagi memberi kesedaran
betapa pentingnya mempertahankan konsep kesederhanaan yang selama ini
menjadi tunjang kekuatan negara.
Oleh itu melalui penghasilan buku oleh Dr.Mashitah ini, ia boleh
digunakan oleh BN khususnya UMNO di semua peringkat menjadikan ia
sebagai bahan rujukan dalam memberikan penerangan kepada rakyat.
Ini bagi membolehkan mereka memahami bahawa corak politik pakatan
pembangkang yang berpaksikan kepada matlamat menghalalkan cara boleh
memusnahkan impian untuk mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara
Islam contoh.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan