28 Jun 2012

Firma milik Ahli Parlimen DAP didakwa terima habuan kontrak

SHAH ALAM 26 Jun - Ketika dakwaan salah guna kuasa melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih hangat diperkatakan, sebuah firma guaman milik seorang Ahli Parlimen DAP turut dikatakan menerima habuan daripada kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri, Dr. Ching Eu Boon ketika mendedahkan perkara itu berkata, pemberian kontrak itu juga dibuat selepas keputusan mesyuarat berhubung pemberian kontrak kepada sebuah firma guaman diubah secara tidak sah oleh ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
Katanya, laporan pemeriksaan khas pelantikan guaman oleh MBPJ mencatatkan Jawatankuasa Kecil Perundangan yang dipengerusi oleh seorang ahli majlis daripada DAP pada 16 Jun 2010 telah mengubah keputusan melantik sebuah firma guaman bagi mengendalikan kes tuntutan hutang sebanyak RM128,000 terhadap sebuah syarikat yang menyewa kompleks renang.
Beliau mendakwa, mesyuarat yang hanya dihadiri oleh dua ahli majlis daripada keseluruhan 17 anggota penuh jawatankuasa itu telah memberikan kontrak tersebut kepada sebuah firma guaman milik Ahli Parlimen berkenaan.
"Apa yang saya bangkitkan adalah mengenai campur tangan ahli majlis MBPJ yang menyalahgunakan kuasa beliau untuk memberikan kontrak tersebut kepada firma peguam berkenaan dengan kos sebanyak RM55,000 sedangkan kontrak awal telah diberi kepada pihak guaman lain yang kosnya hanya sebanyak RM15,000.
"Laporan audit dalaman MBPJ mendedahkan salah laku yang timbul itu. Saya percaya kalau sumber dalaman tidak mendedahkan isu ini, maka kes itu akan dibiarkan berlaku tanpa ada pihak yang akan bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar bersama Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed di bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
---
Eu Boon yang juga Penyelaras BN DUN Pandamaran berkata, berdasarkan pemerhatian audit, tiga mesyuarat jawatankuasa kecil perundangan melibatkan ahli-ahli majlis tersebut tidak disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan, Perundangan dan Penguatkuasaan MBPJ.
Selain itu katanya, terdapat juga percanggahan maklumat mengenai kehadiran pada mesyuarat jawatankuasa kecil berkenaan apabila salah seorang ahli majlis yang dicatatkan nama dalam rekod kedatangan mengakui tidak hadir pada mesyuarat tersebut dan seorang lagi ahli majlis yang hadir menyatakan tidak ada sebarang pertukaran panel firma guaman bagi kes berkenaan. 
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12

Tiada ulasan: