KUALA LUMPUR 26 Jun - Pas perlu tampil menyokong pendirian tegas
kerajaan dalam menolak budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender
(LGBT) daripada bertapak di negara ini jika benar parti itu
memperjuangkan akidah Islam seperti didakwa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga menuntut
Pas menjelaskan pendiriannya berhubung ideologi pluralisme dan
liberalisme yang diketahui diperjuangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim meskipun bertentangan dengan Islam.
Menurut beliau, amalan LGBT serta fahaman pluralisme dan liberalisme
jelas terkeluar daripada ajaran Islam tetapi beliau pelik kenapa Pas
yang mendakwa parti Islam boleh bersekongkol dengan pakatan pembangkang
yang ternyata menyokong perkara itu.
"Saya harap Pas jangan menyokong melulu tanpa meneliti apa sebenarnya
yang ada dalam LGBT. Jangan kita memberi sokongan secara semberono
semata-mata demi kepentingan politik kerana ia akan mengakibatkan
perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.
"Dalam hal ini, banyak unsur-unsur negatif akan berlaku jika budaya
LBGT menjadi amalan pemimpin pembangkang. Perjuangan itu (sokongan Pas)
salah dan mereka harus sedar jika benar Pas bersandar kepada Islam,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan
upacara pelepasan Program Konvoi Jelajah Kemasyarakatan oleh Briged
Sukarelawan Khidmat Negara di perkarangan Auditorium, Wisma Pertahanan
di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Panglima
Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain serta Ketua Pengarah
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan
kerajaan akan mempertahankan kesucian agama Islam dan memastikan budaya
songsang LGBT serta fahaman menyeleweng seperti pluralisme dan
liberalisme tidak mendapat tempat di negara ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyasarkan buat
permulaan seramai 8,000 daripada keseluruhan 34,364 ahli sukarelawan
khidmat negara mampu bertugas secara sukarela melebihi 120 jam setahun,
selepas Kabinet meluluskan pemberian elaun perkhidmatan.
Katanya, dengan kesudian kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM11
juta untuk menampung elaun perkhidmatan para sukarela, beliau berharap
alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan lebih bersemangat
untuk membantu masyarakat selepas ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai konvoi jelajah kemasyarakatan yang
dijayakan briged sukarelawan khidmat negara berkenaan, beliau berkata,
program tersebut adalah bukti bagaimana modal insan yang dididik melalui
PLKN mampu menabur bakti untuk rakyat.
Jelasnya, konvoi tersebut yang disertai 30 ahli sukarelawan akan
menjelajah ke beberapa negeri di semenanjung untuk melaksanakan
kerja-kerja sukarela dan di setiap perhentian, mereka akan dibantu
seramai 200 lagi anggota sukarela di kawasan tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 27/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan