
Muhyiddin Yassin mengangkat tangan
sambil bergandingan bersama M. Kayveas, Chandrakumanan (kanan) dan
Maglin De Cruz (kiri) selepas merasmikan Konvensyen Parti Progresif
Penduduk Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/DJOHAN
SHAHRIN SHAH.
*****
KUALA LUMPUR 10 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin
menggesa para pemimpin komponen Barisan Nasonal (BN) supaya bersikap
terbuka dalam menghadapi formula baru pembahagian kerusi mengikut
keupayaan calon boleh menang, yang akan dipilih pada pilihan raya umum
nanti.
Timbalan Perdana Menteri berkata, formula baru itu akan menyaksikan
kerusi yang secara tradisi dipertandingkan oleh wakil parti komponen BN
tertentu diganti oleh wakil parti komponen lain, berdasarkan faktor
kekuatan dan penerimaan pengundi terhadap individu berkenaan.
Katanya, perubahan itu bakal menyaksikan BN memilih pemimpin yang
bukan sahaja popular di dalam parti, tetapi dapat diterima dengan baik
oleh para penduduk setempat berdasarkan usaha membangunkan komuniti
tersebut demi memastikan kemenangan BN akan datang.
"Siapa di kalangan komponen parti yang diletak nanti mempunyai peluang lebih untuk menang, saya kira asas itu boleh kita guna.
"Sebagai contoh, kalau di Parlimen Batu kita lihat (Pengerusi Parti
Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan) Datuk A. Chandrakumanan boleh
menang, maka kita letakkan menggantikan Gerakan, sebagai contoh, kerana
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon ada di sini," katanya."
Hadir sama, Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas, Tsu Koon,
timbalannya, Datuk Maglin De Cruz, Presiden Parti Bersatu India Malaysia
(MIUP), Datuk S. Nallakaruppan dan pimpinan serta ahli PPP dari seluruh
negara.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika
berucap merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah
Persekutuan di sini hari ini.
Beliau menambah, para pemimpin parti komponen BN di seluruh negara
terutama Wilayah Persekutuan perlu menerima formula baru tersebut
memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 dijangka diadakan tidak lama lagi.
Justeru, katanya, semua pimpinan parti komponen BN perlu bekerjasama
dalam pemilihan calon akan datang dan memberi sokongan padu kepada calon
tersebut demi memastikan kemenangan gagasan tersebut.
Sementara itu, katanya, para pemimpin BN perlu sentiasa bertindak
pantas dalam mengurus persepsi negatif yang ditimbulkan pembangkang ke
atas komponen itu melalui pelbagai dakyah yang tidak berasas melalui
media sosial.
"Terdapat perbezaan di antara realiti dan persepsi masyarakat dalam
pelbagai isu dan kita mesti berani menanganinya kerana pembangkang bijak
memutar isu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan