KUALA LUMPUR 10 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman
fitnah terhadap Datuk Abdul Murad Khalid bagi membuktikan bekas Penolong
Gabenor Bank Negara itu bukannya proksi atau kroni beliau.
Ketua Penerangannya, Ruslan Kassim berkata, tindakan itu amat penting
kerana akuan berkanun Abdul Murad membuktikan Anwar terlibat dalam
kegiatan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Katanya, Anwar juga perlu menyaman Abdul Murad bagi membersihkan namanya selain sebagai satu tindakan penafian.
"Ramai mengandaikan Anwar tidak berani menyaman Abdul Murad kerana
mereka berdua tahu rahsia masing-masing," katanya dalam satu kenyataan
di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Abdul Murad kira-kira 13 tahun lalu bahawa
Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk yang diuruskan kroni-kroninya
membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.
Menurut Ruslan, Abdul Murad juga dikatakan mengetahui banyak rahsia
kewangan Anwar selain menerima banyak manfaat daripada beliau dan
tindakan saman boleh mendatangkan kerugian besar kepada kedua-dua
mereka.
Pada masa sama, katanya, tindakan Anwar mencabar Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengisytiharkan harta, akaun dan aset
terlebih dahulu sebelum beliau berbuat demikian bukanlah sesuatu yang
menghairankan.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan taktik dan strategi sering
dilakukan Anwar untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar
iaitu pendedahan mengenai penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah dan
pemilikan 20 akaunnya membabitkan harta sebanyak RM3 bilion seperti
didakwa Abdul Murad.
"Anwar tidak boleh mendiamkan diri dalam isu ini, begitu juga dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Katanya, semua rakyat sedang menunggu tindakan susulan Anwar dan SPRM
manakala Abdul Murad pula perlu membuat pilihan yang selamat.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan