DALAM pemikiran dan perjalanan politik pemimpin-pemimpin Pas pada
masa ini, matlamat utama mereka hanyalah satu iaitu memastikan
kemenangan pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang.
Oleh itu kita tidak perlu terkejut dengan kenyataan Ketua Penerangan
Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang membuat seruan supaya ahli-ahli
Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya menangguhkan
pemergian mereka ke tanah suci bagi menunaikan ibadat haji.
Kita tidak pasti dari sumber manakah Pas mendapat maklumat bahawa
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada musim haji tetapi
apa yang nyata, tindakan itu menunjukkan Pas bagaikan takut kepada
bayang-bayang sendiri.
Pas bimbang kalaulah benar pilihan raya diadakan pada musim haji, ia
mungkin akan menjejaskan persiapan jentera pilihan raya mereka dan ini
sekali gus akan menyebabkan pengorbanan parti itu terhadap semangat
setiakawan dalam pakatan pembangkang akan terjejas.
Selama ini pun semua orang tahu pakatan pembangkang terutamanya PKR
bergantung kepada jentera Pas dalam melaksanakan pelbagai kerja dan
gerakan dalam pilihan raya, oleh itu kalaulah jentera pilihan raya Pas
terjejas ia sudah tentulah akan menggugat peluang pakatan pembangkang
meraih kemenangan.
Namun begitu apa yang menjadi persoalan adakah seruan Tuan Ibrahim
itu wajar dilakukan? Seperti biasa kita menyaksikan ramai pemimpin Pas
muncul mempertahankan kenyataan ketua penerangan mereka itu termasuklah
juga Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan Nabi
Muhammad SAW pun hanya melaksanakan ibadat itu pada tahun ke- 10
sedangkan ayat mengenai wajib haji turun pada tahun keenam.
Begitu juga Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menegaskan,
umat Islam termasuk penyokong Pas wajib menghadapi pilihan raya umum
akan datang kerana ia perkara ditetapkan syarak dan hujah beliau melalui
pilihan raya umum, umat Islam akan datang memilih pemimpin yang
memperjuang serta melaksanakan segala dasar Islam demi masa depan ummah
khususnya di negara ini.
Turut menarik perhatian penulis, kenyataan 'melucukan' daripada Ketua
Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang mendakwa UMNO menghalang
umat Islam daripada menunaikan ibadat haji jika benar PRU-13 diadakan
pada musim haji. Malahan Pemuda Pas yang dilihat sentiasa bersikap flip-flop
dalam beberapa isu sebelum ini turut menegaskan, tidak akan memberi
peluang kepada UMNO untuk menang percuma dalam pilihan raya.
Persoalannya, kenapakah secara tiba-tiba pemimpin-pemimpin Pas begitu
'meroyan' bercakap soal pilihan raya umum akan diadakan pada musim
haji? Siapa yang memberi maklumat? Apakah berita mengenai perkara itu
betul? Bukankah Pas selalu menggunakan maksud Surah Al Hujurat ayat 6
apabila berlaku sesuatu isu politik melibatkan pemimpin pembangkang.
Kenapakah kali ini maksud ayat itu digunakan sebelum membuat kenyataan
yang mencetuskan polemik tidak sewajarnya?
Dalam surah itu Allah SWT berfirman yang bermaksud; ''Hai
orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu orang yang fasik dengan
sesuatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan sesuatu
kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas
perbuatanmu itu.''
Atau apakah mungkin pemimpin-pemimpin Pas hanya menduga atau lebih
tepat menyangka sahaja bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada musim
haji dan kalau sekadar sangkaan bukankah ini bertentangan dengan firman
Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 2 yang bermaksud: '' Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa…''
Daif
Tetapi malang sekali, pemimpin-pemimpin Pas mungkin tidak
memperhatikan semua itu kerana matlamat mereka ialah untuk menggambarkan
kepada rakyat kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan
memilih satu tarikh yang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional
(BN) untuk mengadakan pilihan raya.
Penulis tidak berhasrat mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa kenyataan beliau diputarbelitkan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana
sudah masak dengan perangai pemimpin Pas yang sudah pasti akan membuat
kenyataan seumpama itu apabila tertekan. Tetapi apa yang penulis hendak
persoalkan biarpun kenyataan Tuan Ibrahim merujuk kepada calon, wakil
calon dan ejen parti, adakah ia wajar dilakukan? Apakah Pas begitu daif
sekali untuk mencari pengganti bagi ketiga-tiga kelompok berkenaan?
Malahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengesahkan kelayakan
seseorang calon untuk bertanding tidak terjejas walaupun mereka berada
di Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Oleh itu, apa yang Pas risaukan
sangat. Kalau soal wakil calon dan ejen parti, takkanlah Pas tidak boleh
mencari pengganti sehingga orang yang terlibat perlu menangguhkan
ibadat haji mereka?
Pemimpin Pas juga berhujah pilihan raya penting kerana ia dapat
memilih pemimpin yang memperjuangkan serta melaksanakan segala dasar
Islam demi masa depan ummah khususnya di negara ini, fakta ini
sememangnya tidak boleh dinafikan tetapi ia bukan sekadar bergantung
kepada penyokong-penyokong Pas sahaja.
Kalau setakat 28,000 orang menunaikan haji ia sama sekali tidak akan
menjejaskan usaha untuk memastikan Islam tidak terancam melalui
keputusan pilihan raya.
Sejak pilihan raya diadakan pada 1955 sehingga 2008, kedudukan umat
Islam dan agama Islam di negara ini tidak pernah terjejas malahan
semakin berkembang dari semasa ke semasa melalui pemerintahan BN yang
UMNO menjadi tonggaknya.
Oleh itu hujah kononnya bagi memilih pemimpin yang memperjuang dan
melaksanakan segala dasar Islam hanyalah alasan semata-mata, apatah lagi
selama ini pun sejak 1990, apabila Pas terus diberi mandat memerintah
Kelantan dan Kedah pada 2008, kita tidak nampak ''segala dasar Islam
dilaksanakan' yang kelihatan hanyalah slogan dan retorik politik
semata-mata.
Kita juga tidak harus lupa bahawa Pas bukan parti dominan dalam
pakatan pembangkang, dalam pilihan raya umum akan datang, Pas dikatakan
hanya dibenarkan bertanding tidak lebih 66 kerusi Parlimen. Oleh itu
bagaimana Pas hendak melaksanakan dasar Islam? Apakah sekutu rapatnya,
DAP akan bersetuju? Apakah PKR akan memberi laluan kepada Pas untuk
menjadi tonggak utama dalam pakatan?
Justeru jika ahli-ahli Pas yang terlibat dalam pilihan raya
mengorbankan peluang mereka menunaikan ibadat haji, apakah ia
benar-benar akan menguntungkan Pas dan merupakan satu jaminan bahawa
parti itu akan mampu menjadi pemerintah utama di negara ini bagi
melaksanakan dasar-dasar Islam?
Soalnya, apakah dasar Islam hanya layak dilaksanakan oleh Pas sahaja
sedangkan sejarah negara telah membuktikan bagaimana Islam berkembang
pesat dalam pelbagai bidang di negara ini sehingga menjadi contoh kepada
negara Islam lain, hasil perjuangan dan kepimpinan UMNO.
Dalam isu ibadat haji ini juga, kita tidak perlu melayan kerenah
Dewan Pemuda Pas yang semakin hari semakin dilihat bercelaru dalam
mencari kuasa politik. Pemimpin mereka sanggup menyokong Pengerusi
Bersih, Datuk S. Ambiga sehingga bersedia mengadakan demonstrasi di
Mekah dan Madinah, Pemuda Pas salahkan kartun akhbar KOSMO! apabila pemimpin mereka terlajak cakap.
Kalau begitulah tahap pemikiran mereka, mana mungkin kita boleh
menerima hujah yang cukup dangkal apabila ketuanya menyatakan UMNO
menghalang umat Islam menunaikan haji kerana melangsungkan pilihan raya
dalam musim haji.
Kesimpulannya, jangkaan bahawa pilihan raya akan diadakan pada musim
haji hanyalah sekadar khayalan politik Pas sahaja yang semakin tersepit
dengan pelbagai kemelut yang melanda pakatan pembangkang.
/hwa: utusan.com.my | 17/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan