19 Jun 2012

SPRM terima 'bukti baru'

KUALA LUMPUR 16 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima bukti baru berkaitan pemilikan 20 akaun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan harta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali daripada ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali.
Menurut Ummi Hafilda, bukti tersebut yang berupa beberapa dokumen diserahkan kepada pegawai penyiasat SPRM dalam satu pertemuan dengan mereka di ibu kota, Rabu lalu.
Katanya, tindakan pantas SPRM tersebut dibuat ekoran laporan muka depan Utusan Malaysia pada hari berkenaan, mengenai bukti yang ada pada beliau berhubung kes itu.
"Ekoran laporan akhbar tersebut, saya difahamkan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali mengarahkan pegawainya untuk menemui saya pada hari itu juga.
"Pegawai yang saya temui itu memaklumkan SPRM akan membuka semula siasatan berhubung pemilikan akaun Anwar dan abang kandung saya sendiri iaitu Azmin, berdasarkan bukti baru itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Selasa lalu, Ummi Hafilda mendakwa, beliau 'menyimpan' bukti-bukti baru berhubung pemilikan 20 akaun Anwar serta pemilikan harta Azmin dan menyatakan kesediaan menyerahkannya kepada agensi itu sekiranya diminta berbuat demikian.
Pendedahan itu merupakan reaksi terhadap kenyataan Mustafar bahawa siasatan berhubung akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan 20 akaun oleh Anwar akan dijalankan, jika bukti baru yang berkaitan dikemukakan.
Sehubungan itu, Ummi Hafilda meminta Anwar, Azmin serta isteri Azmin iaitu Shamsidar Taharin supaya bersedia disiasat oleh SPRM sekiranya diminta berbuat demikian dalam masa terdekat ini.
"Saya sudah menjalankan tanggungjawab saya dan sedia berjumpa mereka di mahkamah demi kebenaran, kita tengok apa tindakan mereka selanjutnya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 17/6/12

Tiada ulasan: