ISLAM dan Melayu amat sinonim dan strategik. Jika mana-mana musuh
mahu melemahkan atau menguasai negara Malaysia ini dalam jangka panjang,
satu strategi yang wajar digunakan adalah melemahkan kecintaan orang
Melayu kepada Islam.
Amat unik dan menarik bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia
memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan
adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Dari segi akal, adalah mustahil orang Melayu akan merelakan Parlimen
meminda peruntukan perlembagaan ini. Kecuali majoriti mereka atau
ahli-ahli Parlimen Melayu telah dipukau atau gila.
Maka wajarlah kita orang Melayu bersyukur kepada Allah SWT kerana
mengilhamkan kepada bapa-bapa kemerdekaan negara supaya memaktubkan
definisi ini ke dalam perlembagaan. Itulah lambang kecintaan orang
Melayu kepada Islam. Mana ada kelompok etnik di dunia yang dijasadkan
dengan agama Islam dalam perlembagaan negara mereka.
Malah hanya di Malaysia sahaja orang Melayu dimeterikan dengan label
Islam. Dan masyarakat Melayu akan gempar seolah-olah ditimpa bencana
alam jika ada salah seorang Melayu dilaporkan melakukan sesuatu yang
mencalarkan imej keislaman kaumnya, apatah lagi jika ada yang murtad.
Selama mana sensitiviti orang Melayu terhadap keislaman mereka ini
akan bertahan, adalah satu persoalan yang relevan dibincangkan. Sama
seperti bertanya, adakah mungkin peristiwa rusuhan Natrah yang berlaku
di Singapura pada 1950 berulang di Malaysia pada abad ke-21?
Tentulah ingatan kita segar betapa peristiwa memurtadkan orang Melayu
telah dilaporkan berlaku di Selangor pada tahun lalu. Sebelum itu orang
Melayu heboh apabila pihak gereja kristian di Malaysia cuba menggunakan
kalimah Allah dalam buletin, upacara agama dan kitab mereka.
Ekorannya, pihak-pihak berkesedaran telah menganjurkan Perhimpunan
Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2011.
Hasilnya, hanya kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang hadir.
Nah, bandingkan dengan bilangan orang Melayu yang hadir di perhimpunan
haram Bersih 3.0 anjuran seorang wanita bukan Islam pada 28 April 2012.
Slogan penganjur adalah menuntut pilihan raya lebih bersih atas nama
demokrasi.
Menariknya, Perhimpunan Sejuta Umat berlangsung dalam suasana yang
sangat aman. Sebaliknya, Bersih 3.0 dicemari dengan keganasan oleh
pemuda-pemuda Melayu. Secara mudah, fahamilah manifestasi daripada dua
peristiwa tersebut. Tidakkah ia menggambarkan bahawa orang Melayu
sekarang lebih cintakan politik daripada agama Islam?
Meresap
Inilah bukti bahawa demokrasi, kebebasan dan hak asasi sudah meresap
sebagai agama baru kepada sebilangan orang Melayu. Ramai orang Melayu
sekarang sudah hilang sensitiviti terhadap agama Islam berbanding
masyarakat Melayu dulu.
Ini berlaku ketika semakin banyak surau, masjid, institusi pendidikan
Islam (tadika, sekolah, kolej dan universiti) dibangunkan. Malah di TV
sekarang sudah ada beberapa saluran khas Islam. Kenapa boleh jadi
begini? Anehnya yang ramai menyertai Bersih 3.0 ialah para penyokong dan
ahli sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka jugalah yang
enggan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat dulu.
Kenapa boleh jadi begini? Jawapannya adalah kegilaan berpolitik sudah
mengatasi kecintaan sebenar kepada agama Islam. Mereka bercakap
kononnya kepentingan agama mengatasi kepentingan politik. Tetapi
hakikatnya tindak-tanduk mereka membuktikan bahawa kepentingan politik
melebihi kepentingan agama. Malah agama tidak lebih hanyalah kuda
tunggangan joki-joki politik yang mahu menuju ke garisan penamat bernama
Putrajaya.
Yang penting adalah memeluk trofi kemenangan di Putrajaya? Kenapa boleh jadi begini?
"Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat
Allah sebagai olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia,
maka pada hari ini (di akhirat) mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan
tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat," - Al Jaatsiyah 45: 35.
Kehidupan di dunia pada hari ini yang diatur oleh 'agama baru'
bernama demokrasi telah mendorong manusia berlumba-lumba untuk merebut
kuasa. Kononnya dengan kuasa inilah mereka akan melakukan yang terbaik
untuk umat manusia. Bagaimana mungkin dengan kuasa ini mereka akan
melakukan yang terbaik sesama manusia sedangkan ketika berebut kuasa
mereka sudah melakukan pelbagai kemunafikan dan kemungkaran?
Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan iman dan Islam tidak
pernah menjadikan kuasa sebagai matlamat atau alat. Baginda hanya
berdakwah dan terus berdakwah supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang
Esa dan mentaati-Nya. Baginda dan umat Islam hanya berperang setelah
Allah memerintahkan mereka mempertahankan diri dan agama setelah diancam
dan dianiaya berterusan oleh kaum musyrikin.
Baginda pernah ditawarkan kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya
menghentikan dakwahnya, tetapi baginda menolak keras. Pada hari ini
kita hanya berdakwah secara cebisan dan sambilan, tetapi menjadikan
usaha merebut kuasa sebagai kerja sepenuh masa.
Wahai orang Melayu, sedarlah bahawa kekuatan Islam di Malaysia
terletak di tangan kita semua. Malaysia dipandang tinggi oleh
negara-negara Islam lain kerana ada sesuatu pada kita yang tiada pada
orang lain. Jangan nampak kuman di seberang laut, tetapi buta kepada
gajah di depan mata.
Dalam kerangka demokrasi yang amat 'dijunjung tinggi hingga melebihi
kepentingan Islam' pada hari ini, kita hendaklah sedar bahawa jumlah
orang Melayu bukanlah ramai sangat. Andainya Almarhum Tunku Abdul Rahman
tidak mengusir Lee Kuan Yew dan Singapura keluar dari Malaysia dulu,
tidak tahulah bagaimana kedudukan Melayu dalam percaturan politik
demokrasi pada hari ini.
Sedangkan dengan kedudukan majoriti hari ini kita sudah tidak tentu
arah. Semuanya ini berlaku kerana kita terlalu terpengaruh dengan nafsu
keduniaan untuk berebut kuasa sesama kita. Nafsu telah menyebabkan
manusia menjadi buta kepada kebenaran.
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya
sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah
telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas
penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah
Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil
pelajaran?," - Al Jaatsiyah 45: 23
Kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti,
renungilah maksud ayat Quran ini. Kita telah meletakkan Malaysia pada
satu titik yang sangat bermakna dalam dunia Islam. Janganlah biarkan
orang Melayu dan negara Islam ini disesatkan kerana kita bertuhankan
nafsu, bukan lagi Allah.
/hwa: utusan.com.my | 24/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan