31 Julai 2012

Antara retorik politik dan janji ditepati

SELEPAS melihat slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan bagaikan mimpi ngeri untuk pembangkang kini mereka buat perangai lagi apabila mempertikaikan pula slogan Janji Ditepati yang kini dipilih menjadi tema Hari Kemerdekaan Ke-55.
Pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas resah gelisah dengan tema berkenaan seolah-olah ia satu lagi mimpi buruk bagi mereka, oleh itu awal-awal lagi mereka menganggap tema berkenaan bermotifkan politik.
Sebelum ini, pembangkang juga tidak selesa dan tidak senang duduk dengan slogan 1Malaysia sehingga ada negeri di bawah pimpinan mereka 'mengharamkan' penggunaan slogan berkenaan dipaparkan di papan-papan tanda.
Tetapi kalau slogan 1Malaysia dianggap slogan politik kepada Barisan Nasional (BN) bagaimana pula dengan slogan Selangorku yang diuar-uarkan oleh kerajaan PKR di negeri berkenaan, tidakkah ia juga boleh dilihat bermotif politik? Kenapa perlu ada double standard dalam soal ini.
Begitu juga kenapakah pembangkang begitu takut dengan slogan Janji Ditepati? Bukankah menepati janji adalah juga tuntutan dalam ajaran Islam? Kenapa takut sangat dengan golongan yang menepati janji?
Cubalah imbas kembali apa yang dilakukan oleh pembangkang ketika pilihan raya umum 2008, tidakkah ketika itu BN yang berada di dalam keadaan defensif, pembangkang begitu agresif menabur janji-janji kepada rakyat bagi meraih sokongan.
Kita tidak lupa bagaimana berderet-deret senarai janji ditaburkan oleh mereka dan kita juga masih ingat sampai ke hari ini masih berlambak-lambak janji yang dibuat tidak ditunaikan.
Oleh itu tidak hairanlah apabila slogan 'janji ditepati' seolah-olah menjadi 'hantu terbaru' yang dianggap memburu permainan politik pakatan pembangkang. Justeru mahu tidak mahu, mereka berusaha untuk memburuk-burukkan slogan berkenaan kerana bimbang ia akan meresapi pemikiran rakyat dalam membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Apa yang lebih membimbangkan pakatan pembangkang ialah apabila kaji selidik yang dijalankan oleh beberapa institusi pengajian tinggi baru-baru ini mendapati sokongan rakyat terhadap BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat dan lebih merimaskan pembangkang apabila kaji selidik itu juga menunjukkan BN berpeluang menawan kembali Kedah dan Selangor.
Sebenarnya, pembangkang tidak perlu gundah gulana dengan slogan Janji Ditepati jika mereka benar-benar menunaikan segala janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu tetapi malangnya di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka segala janji hanya tinggal janji.
Pelbagai alasan diberikan apabila ditanya kenapakah janji-janji yang dibuat tidak ditunaikan dan ini membuktikan segala yang dijanjikan ketika berkempen hanyalah sekadar retorik politik bagi meraih sokongan rakyat.
Penentangan pakatan pembangkang terhadap slogan Janji Ditepati hakikatnya berhubung kait dengan kemampuan kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib yang dari semasa ke semasa melaksanakan satu demi satu janji yang dibuat.
Dalam melaksanakan janji berkenaan tidak ada mana-mana golongan terpinggir atau tercicir, penjawat awam dibela, peneroka Felda dihargai, hasrat rakyat biasa dipenuhi dan beban masyarakat dikurangi.
Lihat sahaja pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada BR1M, KR1M, TR1M dan pelbagai bantuan lain dinikmati oleh semua lapisan rakyat pada masa ini, segalanya memberikan faedah kepada usaha BN untuk menanam keyakinan kepada rakyat siapa lebih berhak memimpin mereka dan negara ini.
Oleh itu adalah jelas, pakatan pembangkang ingin terus berpolitik, adalah tidak munasabah sebagai orang politik, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak memahami betapa pentingnya janji kepada rakyat ditepati dan ditunaikan.
Mereka sudah lihat bagaimana rakyat menghukum mana-mana parti politik yang tidak menunaikan janji dan kita jangan lupa BN sendiri sudah merasai keperitannya apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen kerana pada tahun 2008 rakyat melihat nasib mereka tidak dibela oleh parti tersebut.
Dan kini bahang tindak balas rakyat itu semakin dirasai oleh pembangkang, sebab itulah, kita menyaksikan bagaimana pakatan pembangkang terus menabur janji baru termasuklah kononnya akan memansuhkan cukai eksais jika mereka memenangi pilihan raya. Dalam usaha menunjukkan kononnya mereka lebih bijak menguruskan ekonomi berbanding kerajaan BN maka janji yang tidak munasabah ini ditaburkan.
Ia kerana seperti mana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop negara akan mengalami keadaan ekonomi yang tidak stabil dan ramai yang menjadi muflis jika harga kereta serta duti eksais kenderaan diturunkan.
Beliau berkata, penghapusan cukai bagi kereta akan mengurangkan cukai negara sebanyak RM7 bilion yang boleh menjejaskan pembangunan infrastruktur negara terutamanya di Sabah dan Sarawak serta pedalaman Semenanjung.
Soalnya, pembangkang peduli apa! Sebab matlamat mereka hanyalah mahu meraih undi daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang dan disebabkan impian merebut kuasa ini jugalah blog-blog mereka membuat fitnah kononnya pembayaran bonus kepada kakitangan awam dilakukan melalui kerajaan membuat pinjaman dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Demikianlah terdesaknya pakatan pembangkang dalam usaha mereka memburuk-burukkan kerajaan BN. Mereka bersedia melakukan apa sahaja termasuk menabur janji baru, mereka-reka tohmahan dan dakwaan palsu serta melemparkan fitnah.
Namun seperti mana kata Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, kertas tidak boleh digunakan membalut api, begitulah juga keadaan pembangkang. Mereka selama-lamanya tidak boleh membohongi dan menabur janji palsu kepada rakyat.
Sama ada BN atau pembangkang yang lebih layak memimpin negara ini, biarlah rakyat yang membuat penentuannya tidak perlulah sampai kepada tema hari merdeka pun mahu dipolitikkan. Pakatan pembangkang tidak perlu resah soal ini kalau mereka menunaikan janji tetapi sekarang sudah terbukti apa yang mereka cakap hanyalah retorik politik sebab itulah mereka takut sangat dengan slogan 'Janji Ditepati'.
Dalam soal ini penulis paparkan apa kata sebuah blog pembangkang mengenai telatah mereka melatah dengan tema hari merdeka, antara lain pengendali blog itu menulis, ''Tidak hairanlah kenapa Pakatan Rakyat menjadi bahan gelak sekarang ini. Tema hari kebangsaan pun nak dijadikan isu…Ada sesetengah orang memaklumkan kepada penulis, tema itu sengaja direka untuk menyindir Pakatan Rakyat kerana kononnya tidak melaksanakan janji, berbanding Najib. Kalau itu kisahnya, sepatutnya Pakatan Rakyat melaksanakanlah mana janji 2008 yang masih tertunggak, bukan menjadikan soal tema ini sebagai isu besar."
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Tiada ulasan: