HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa
pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi
merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki.
Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan
dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah
pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti
diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana
perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya.
Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu
siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan
kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk beraya,
peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang
berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang
berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan
sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau
lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.
Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan
kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah
nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan
kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang
dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan
kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan
untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu
ketiga bulan depan.
Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah
melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada
17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan
menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang.
Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka
sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu
awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.
Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik
mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan
jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga 'menyembah' bumi
ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan
bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum
Ke-13.
Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu
PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada
kibarkan Jalur Gemilang.
Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula
dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan?
Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan
tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup
memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur
Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah
menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini
dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar
kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah
menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di
sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan
rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan
pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka
menjelang hari raya nanti.
Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna
warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang.
Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur
Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan
juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat....kibarkan, kalau
tak dapat...tak apa, biar orang lain kibarkan.
Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang
akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu
kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur
Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah
pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak
ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan