SALAH satu perkara menarik yang menjadi
perbincangan dalam arena politik negara ialah mengenai kedudukan Pas
dalam pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dan DAP.
Pergilah ke mana sahaja dan berbuallah dengan sesiapa sahaja, topik
mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sentiasa menjadi
perhatian.
Ditubuhkan oleh sekumpulan ulama melalui perpecahan yang berlaku di
dalam UMNO pada tahun 1951, perjuangan politik Pas kini semakin terarah
daripada sebuah parti yang mampu berdikari kepada sebuah parti yang
dilihat menjadi 'pak turut' dan sekadar 'kuda tunggangan' dalam pakatan
pembangkang.
Rekod cemerlang Pas kerana memerintah Kelantan sejak tahun 1990
semakin pudar akibat perkongsian impian politik bersama PKR dan DAP
untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan kerajaan Barisan
Nasional (BN).
Walaupun suatu ketika Pas dilihat sebuah parti yang jauh lebih
berwibawa berbanding PKR dan DAP namun Pas tidak mampu bertahan untuk
menjadi sebuah parti yang terus berjuang sendirian bagi mencapai
cita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Perkongsian impian dengan kedua-dua parti itu jelas menunjukkan Pas
terpaksa mengorbankan banyak kekuatan dan jati diri semata-mata untuk
memenuhi rentak politik PKR dan DAP. Malahan golongan ulama yang menjadi
tonggak utama di dalam Pas kini dikatakan semakin terhakis suara
mereka.
Ulama-ulama Pas majoritinya berada di dalam Dewan Ulama dan mereka
seolah-olah tidak mempunyai kuasa politik bagi menentukan hala tuju
parti itu biar pun hakikatnya, Pas 'dilahirkan', 'dibesarkan' dan
dididik oleh golongan berkenaan.
Kesudahannya, akibat semakin kurangnya kuasa politik golongan ulama
di dalam Pas, maka arah tuju Pas juga semakin tidak jelas, sebaliknya
dari semasa ke semasa parti itu terus bercelaru dalam usahanya mencari
kuasa politik.
Oleh itu apabila pemimpin-pemimpin Pas membuat kenyataan yang dilihat
cuba menunjukkan mereka parti kuat dalam pakatan pembangkang ia dilihat
hanyalah sekadar satu mimpi yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Berikut penulis paparkan beberapa mimpi politik Pas berdasarkan perjalanan parti itu sejak mereka berkawan dengan PKR dan DAP.
Menjadi parti dominan - Pas masih lagi bermimpi untuk menjadi
dominan dalam pakatan pembangkang biar pun hakikatnya PKR dan DAP sudah
pasti tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku. Sebab itulah ramai
pemerhati politik melihat impian Pas untuk bertanding 80 kerusi hanyalah
satu impian yang tidak akan kesampaian.
Ini memandangkan PKR biar pun sedang menghadapi pelbagai kemelut
dalaman dan luaran serta semakin terhakis sokongannya di kalangan
rakyat, namun parti itu tetapi mahu menjadi pemimpin utama dalam pakatan
pembangkang.
Impian PKR sudah tentulah bukan sesuatu yang mustahil untuk
dilaksanakan kerana parti itu mempunyai hubungan rapat dengan DAP dan ia
jauh lebih erat berbanding hubungan PKR dengan Pas.
Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana dalam apa juga isu,
pemimpin-pemimpin PKR dikatakan lebih menyebelahi DAP biar pun ia boleh
menyinggung perasaan Pas.
Dalam pilihan raya umum akan datang PKR dan DAP sudah tentu akan
memastikan Pas hanya bertanding sekitar 66 hingga 67 kerusi sahaja
seperti mana pilihan raya umum lalu, manakala PKR dan DAP akan
menentukan siapa antara mereka akan bertanding lebih banyak kerusi.
Apa yang menyedihkan, apabila keputusan sudah dibuat, Pas akan
'diarahkan' oleh sekutunya untuk menyediakan jentera pilihan raya untuk
bertempur.
Ahli-ahli Pas akan dikerah memenuhi majlis-majlis ceramah PKR dan
DAP, menggantung bendera kedua-dua parti itu dan bersedia membuat
kenyataan bagi membela pemimpin-pemimpin pembangkang. Itu sahaja tugas
Pas!
Malahan mereka juga akan bersedia bertakbir tanpa mengira siapa pun yang berucap.
l Impian mewujudkan negara Islam - Pas masih lagi bermimpi
untuk memperjuangkan negara Islam sedangkan ia sudah lama berkubur
berikutan keputusan parti itu menegakkan negara berkebajikan. Namun
begitu oleh kerana menyedari sokongan orang Melayu kepada mereka semakin
merudum maka mahu tidak mahu Pas terpaksa mendendangkan semula soal
memperjuangkan negara Islam.
Kita percaya dalam soal ini seperti mana kata penganalisis politik,
Ahmad Masrizal Muhammad, semua itu hanyalah sandiwara dalam usaha Pas
menarik sokongan orang Melayu.
Semua orang tahu Pas sudah tidak lagi sinonim dengan perjuangan Islam
selagi mereka berada dalam pakatan pembangkang. PKR dan DAP sudah pasti
tidak akan membenarkan Pas meneruskan perjuangan Islamnya.
Laluan Pas dalam soal ini hanyalah sekadar retorik politik kerana di
dalam parti itu sendiri terdapat penentangan yang cukup ketara. dalam
soal berkenaan. Golongan ulama masih berhasrat untuk meneruskan
perjuangan Islam yang dianggap perjuangan asal Pas. Tetapi dalam masa
yang sama, di dalam Pas juga terdapat kelompok pemimpin-pemimpin
tertentu yang begitu mahu menjaga hati dalam soal hubungan dengan PKR
dan DAP. Oleh itu dalam keadaan mereka begitu ghairah untuk memburu
kuasa bersama kedua-dua parti berkenaan, ada di kalangan pemimpin
tersebut yang tidak mahu ada perkara berbangkit yang mampu menjejaskan
impian berkenaan.
l Pemimpin Pas jadi Perdana Menteri - Inilah mimpi yang
paling menyeronokkan bagi pengikut-pengikut Pas kerana mereka merasakan
pemimpin-pemimpin utama mereka layak tetapi hakikatnya pemimpin mereka
sendiri tiada keyakinan diri. Sebab itulah mereka membuat
kenyataan-kenyataan yang menyatakan jika pakatan pembangkang menang
dalam pilihan raya umum nanti yang akan menjadi Perdana Menteri ialah
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengikut-pengikut Pas harus memahami bahawa kedudukan pemimpin mereka
di dalam pakatan pembangkang sekadar penyokong setia dan pengikut
sahaja, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP mendominasi segala agenda politik
pakatan tersebut.
Apatah lagi, berbanding Pas, pemimpin-pemimpin PKR lebih mendapat
kepercayaan pemimpin DAP sebab itulah biar pun PKR mempunyai kerusi yang
kurang dalam Parlimen berbanding Pas, namun DAP tetap memberi laluan
kepada Anwar untuk menjadi ketua pembangkang.
Pemimpin-pemimpin Pas hanya digunakan untuk membuat
kenyataan-kenyataan menyokong dan membela pemimpin PKR dan DAP. Oleh itu
tidak usahlah pengikut-pengikut Pas bermimpi pemimpin mereka akan
menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.
l Berhasrat menggantikan UMNO - Inilah mimpi paling mengasyikkan bagi Pas sehingga mereka sanggup mencetak kemeja t yang tertulis perkataan Pas ganti UMNO.
Tetapi semua orang tahu sejauh manakah kemampuan Pas untuk berbuat
demikian. Pas bukan seperti UMNO kerana dalam pembangkang, Pas diibarat
seperti melukut di tepi gantang demi mencari kuasa.
Ini berbeza dengan UMNO yang menjadi tonggak kekuatan BN tetapi
sentiasa menghormati kesepakatan yang dicapai bersama komponen parti itu
sejak merdeka.UMNO tidak pernah mahu menjadi 'abang besar' di dalam BN
tetapi dalam pakatan pembangkang semua orang tahu siapa 'abang besar'
yang Pas dilihat perlu akur.
Kesimpulannya, Pas boleh terus bermimpi dan bermimpi untuk
menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang tetapi ia tidak akan
menjadi kenyataan.
Bak kata Ahmad Masrizal, ''Pas dalam pakatan pembangkang sebenarnya
adalah tidak ke mana. Tiada kekuatan suara, fikrah apatah lagi kekuatan
politik untuk menentukan hala tuju pakatan itu. Itulah jatuh nasib Pas
dalam Pakatan Pembangkang, tampak hebat berceramah siang dan malam
tetapi ironisnya hanya setakat melukut dalam lingkaran pakatan
Pembangkang.''
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan