30 Julai 2012

Politik bertenggek populariti artis

DALAM politik apabila terdesak, semua yang ada di sekeliling akan dipergunakan untuk satu tujuan iaitu menang. Dalam politik, matlamat menghalalkan cara. Menjelang pilihan raya umum kali ini, parti-parti politik ghairah menenggek atas populariti artis.
Bagi Siti, kerana terdesak mereka tidak yakin dengan manifesto yang dibuat untuk rakyat. Sebenarnya pilihan raya sebelum ini juga artis digunakan untuk berkempen. Tapi tidak sehebat tahun ini.
Artis yang telah suam-suam kuku pun isytiharlah jadi ahli parti politik. Parti politik pula menolak artis ke depan apabila muncul di depan rakyat. Sebab orang politik tahu bahawa orang Melayu sanggup mati kerana artis.
Orang politik pun tahu banyak artis yang jadi ahli parti kepala macam belon. Tak ada apa-apa pun. Tapi kerana orang Melayu taksub sangat kepada artis, mereka pejamkan mata supaya matlamat tercapai. Apa yang artis nak diceramahkan kepada orang Melayu yang ternganga di depan mereka? Lalu jadilah mereka burung kakak tua, tiru cakap orang politik.
Bunyinya memang berdegar-degar. Tapi macam meriam buluh sajalah. Bunyi kuat berdentum tapi tak ada peluru. Samalah apabila artis berceramah politik, tak ada isi pun dari kata-kata persis burung kakak tua itu. Kalau orang tanya Siti, adakah cara ini akan berjaya, Siti hanya akan kata mungkin iya dan mungkin tidak.
Kecenderungan sekarang ini semuanya artis. Acara itu mesti ada artis. Acara ini mesti ada artis. Seolah-olah kalau tak ada artis macam masak tak cukup garam.
Tapi lain pula dari pembaca yang telefon dan SMS yang Siti terima. Banyak yang menolak artis. Mereka menyedari artis telah menyebarluaskan budaya buruk kepada anak-anak mereka. Artis juga seolah-olah menghalalkan hubungan tanpa nikah. Peratus artis yang boleh dijadikan ikon boleh bilang dengan jari. Selebihnya jadi apa?
Sebab itu bila artis ditonjolkan sebagai ikon sesebuah parti politik, ini satu penghinaan kepada rakyat. Apakah tokoh politik sudah mati akal hingga terpaksa memberi pentas kepada artis? Ia jadi penghinaan kerana rakyat mengharapkan orang politik membuat perubahan. Artis nak buat perubahan apa? Bagi Siti, ini menunjukkan parti yang menonjolkan artis tak mempunyai keyakinan diri.
Terfikir pula Siti, apakah perasaan orang yang berjuang siang malam untuk parti, tiba-tiba artis yang diberi penonjolan? Tidakkah mereka tersinggung atau rasa tidak diperlukan? Atau adakah mereka ini juga akan menyokong artis yang mengambil tempat mereka, setidak-tidaknya di pentas ceramah? Barangkali jadual artis kita penuh musim pilihan raya ini. Penuh dengan undangan ceramah politik.
SITI JARUM: Ramah tamah.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Tiada ulasan: