KUALA LUMPUR 30 Julai - Tindakan Datuk Seri Wilfred Bumburing dan
Datuk Seri Lajim Ukin yang keluar dan melepaskan semua jawatan dalam
parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus dilihat sebagai ancaman
kepada keutuhan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
sebaliknya, pemimpin serta anggota BN di Sabah perlu menjadikan perkara
itu sebagai cabaran dalam mempererat dan memperkukuh perpaduan sesama
anggota parti.
"Apa yang berlaku pada mereka sudah dijangkakan, di mana pada pandangan saya, ia boleh diselesaikan.
"Saya harap kepimpinan Umno dan kepimpinan BN Sabah tidak memandang
ringan apa yang berlaku, sebaliknya menjadikan ia sebagai hikmah untuk
mengukuhkan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan
(MIDES) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Bumburing yang juga Anggota
Parlimen Tuaran keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut
Bersatu (UPKO) manakala Lajim yang melepaskan jawatan sebagai Ahli
Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN
Beaufort.
Mengenai tindakan Lajim yang melepaskan semua jawatan namun tidak
sebagai anggota UMNO, Ahmad Zahid berkata ia merupakan urusan dan hak
peribadi, namun keenganannya melepaskan jawatan Timbalan Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan anggota UMNO dilihat sebagai
tindakan tidak matang dari seorang ahli politik berpengalaman.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan tidak menolak kemungkinan
perkembangan terbaru itu adalah satu permainan yang dicetuskan
pembangkang bagi memecah keharmonian sesama anggota BN. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan