31 Julai 2012

Peletakan jawatan 'asam garam' dalam politik

Mohd. Shafie Apdal menyampaikan sumbangan untuk keluarga miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim Bahagian Seputeh pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian itu di Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 29 Julai - Keputusan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan semua jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai 'asam garam' atau perkara biasa dalam politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkembangan yang berlaku itu bukan perkara baru kerana UMNO sebelum ini pernah menyaksikan ahli-ahlinya yang berjawatan tinggi termasuk Timbalan Presiden keluar parti.
Menurut beliau, apa yang penting semua pemimpin dan ahli UMNO sentiasa bekerja keras bagi memantapkan parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Segala cabaran pasti dapat kita tangani. Kita pernah melihat pemimpin keluar parti, malah UMNO pernah diharamkan. Semua itu tidak menghalang kita terus bekerja kuat untuk membantu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh 2012 di Dewan Besar Pusat Khidmat Masyarakat BN Parlimen Seputeh di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff dan pemimpin-pemimpin kanan UMNO bahagian berkenaan.
Mohd. Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort, Sabah semalam.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, kemenangan Lajim di Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-12 banyak bergantung kepada kekuatan BN di Sabah.
"Kita pernah melihat bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee menang pilihan raya semasa menjadi calon BN, tetapi beliau tewas apabila mewakili pembangkang," ujarnya.
Bagaimanapun, jelas Mohd. Shafie, BN dan UMNO tidak sepatutnya alpa dan memandang ringan keupayaan pihak lawan demi memastikan kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.
Ketika ditanya sama ada khabar angin lebih ramai pemimpin UMNO di Sabah akan keluar parti ekoran nama mereka tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum nanti, beliau menyifatkan perkara itu sekadar andaian sahaja.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Tiada ulasan: