KUALA LUMPUR 29 Julai - Tokoh Melayu Terbilang, Tan Sri Arshad Ayub
yang menjadi watak penting dalam melahirkan Universiti Teknologi Mara
(UiTM) menjelaskan tanpa sokongan UMNO universiti itu tidak mungkin
dapat berdiri seperti ketika ini.
Beliau yang diberi penghormatan tertinggi oleh Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa) apabila dikalungkan dengan Anugerah Bintang
Pahlawan Pribumi Perkasa serta diangkat sebagai Bapa Modal Insan Pribumi
Negara berkata, UMNO juga terlalu banyak berjasa kepada orang Melayu.
Sehubungan itu, beliau yang menjadi tulang belakang serta nadi kepada
kemajuan bangsa Melayu melalui penubuhan UiTM melahirkan rasa kesal
serta sedih apabila melihat orang Melayu kini berpecah-belah akibat
perbezaan ideologi politik sehingga menyebabkan kaum majoriti itu lemah.
"Saya terharu dengan penghormatan tertinggi diberi Perkasa. Saya
membangunkan UiTM tidak lain kecuali untuk melihat bangsa saya mampu
berjaya walaupun datang dari latar belakang miskin. Saya juga orang
miskin tetapi akhirnya berjaya, sebab itu UiTM ini umpama baju saya.
"Namun hari ini, selepas ramai orang Melayu berjaya, kita pula
berpecah-belah. Sedangkan saya yakin jika seluruh graduan serta
tokoh-tokoh hebat yang dilahirkan UiTM bersatu dan menyokong hanya satu
parti, Melayu akan kuat dan parti itu nescaya akan sentiasa menang,"
katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penganugerahan Bintang Pahlawan
Pribumi Perkasa serta Bapa Modal Insan Pribumi Negara yang diterimanya
di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini hari ini.
Dalam pada itu, selaku tokoh yang banyak melahirkan modal insan
terkemuka Melayu, Arshad berpesan kepada golongan muda agar sentiasa
memberi penekanan 100 peratus kepada pendidikan jika mahu menjadi bangsa
yang berjaya dan dihormati dunia.
Katanya, orang Melayu tidak boleh menyalahkan pihak lain jika mereka
semakin lemah kerana perkara itu berpunca daripada sikap mudah selesa
kaum majoriti itu sendiri sehingga leka untuk memberi tumpuan kepada
pendidikan anak bangsa.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan