Jika lompatan kedua ini berjaya membawa perubahan
kepada senario politik Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, 57, akan mencipta
sejarah politik yang wajar direkodkan sebagai 'Katak Politik Paling
Besar' bukan sahaja di Sabah tetapi juga negara ini.
Sehingga ketika ini pun 'lompatan katak' Lajim lebih besar
sumbangannya kepada UMNO berbanding lompatan Datuk Ibrahim Ali serta
beberapa yang lain untuk survival politik dan perjuangan mereka,
termasuk beberapa menteri yang pernah 'melompat katak' dalam Kabinet
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.
Jadi, siapa yang mengenali Lajim tidak akan terkejut dengan keputusan
politiknya dan dia sedang berusaha memecahkan rekodnya sendiri.
Dalam berpolitik, jelas Lajim lebih berterus-terang. Bagaikan suatu amaran awal, pada satu temu bual dengan Utusan Malaysia yang disiarkan pada 22 Januari 2010, Lajim berkata:
"Rakyat Sabah boleh menukar pemikiran mereka dalam tempoh 24 jam
untuk sokong sesebuah parti. Contohnya USNO kalah pada 1975 pun
disebabkan ramai ahli USNO masuk parti Berjaya. Dan Berjaya tewas pada
1985 pun disebabkan ahli Berjaya masuk PBS. Itulah uniknya rakyat Sabah,
kalau nak tukar baju, dia nekad tukar."
Ini kerana Lajim yang sebelum ini pernah 'melompat' dari Parti
Bersatu Sabah (PBS) ke UMNO pada 1994, adalah antara penyumbang penting
kepada bertapaknya UMNO di Sabah.
Lajim bukan sembarangan dalam karier politiknya kerana antara jawatan
penting beliau ketika dalam kerajaan PBS ialah Setiausaha Politik Di
Jabatan Ketua Menteri 1985 hingga 1986, Pembantu Menteri Kepada Ketua
Menteri dari 17 Mei1986 hingga 10 Januari 1994, selain Menteri
Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah antara Feb 1994 dan 12 Mac 1994.
Beliau juga ialah Menteri Pertanian dan Perikanan antara 24 Mac1994
dan 20 November 1995, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah
(1995 hingga 1999) selain Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri
Pertanian dan Industri Pemakanan Sabah antara 2002 dan 2003.
Sementara 2003 hingga 2004, Lajim adalah Timbalan Ketua Menteri
merangkap Menteri Di Jabatan Ketua Menteri dan selepas itu sebagai Ketua
Merinyu Projek Negeri Sabah.
Sejarah melakarkan Lajim membuat lompatan katak paling besar dan
begitu berjasa kepada UMNO pada tahun 1994 apabila menjadi katak pertama
yang melompat ke UMNO yang kemudian menumbangkan kerajaan negeri yang
dibentuk oleh Parti Bersatu Sabah yang menang dengan majoriti dua kerusi
Dewan Undangan Negeri Sabah ketika itu.
Kerana lompatan Lajimlah jalan terbuka untuk beberapa pemimpin
mendapat tempat penting dalam kerajaan Sabah dan Persekutuan. Tan Sri
Sankaran Dandai, Datuk Seri Osu Sukam, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri
Shafie Afdal serta Datuk Seri Hanifah Aman tidak boleh menafikan betapa
'lorong' yang dibuka oleh lompatan penting Lajim itu mendatangkan
peluang politik dan kedudukan dalam parti untuk mereka.
Sumbangan Lajim yang dikaitkan dengan usaha Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dikatakan menjadi 'dalang'
kepada usaha menumbangkan PBS mempunyai sesuatu yang tersirat hingga
kini khususnya hubungan Lajim dan Anwar.
Dikatakan bahawa ada janji untuk Lajim menjadi Ketua Menteri Sabah
jika 'lompatan katak' yang kemudian diikuti oleh beberapa pemimpin PBS
yang lain ke dalam UMNO. Namun selepas hampir 20 tahun, jawatan Ketua
Menteri Sabah tidak pun terhidu oleh Lajim apabila ia bertukar ganti
daripada Sakaran Dandai kepada Osu Sukam dan kini Musa Aman.
Amat jelas, sepanjang karier politiknya, jawatan paling tinggi yang dipegang Lajim ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Namun, di sebalik itu, ada beberapa perkara lain yang Lajim sahaja
yang tahu punca beliau mahu meninggalkan UMNO dan menganggap jawatan
Timbalan Menteri tidaklah 'sehebat' Ketua Menteri yang diidamkannya.
Sebenarnya banyak lagi lagi perkara lain yang terbuku di hatinya.
Ada mempertikaikan apa yang diperkatakan Lajim kepada Najib sehingga
beliau sanggup menimbulkan suatu keadaan yang dilihat menggugat Barisan
Nasional (BN) Sabah dengan kata-kata bahawa Lajim mahu memastikan Najib
menyingkirkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
Memanglah jika benar ada tuntutan Lajim, Najib wajar mendengar tetapi
tidak semestinya mengikut kehendak Lajim. Dan bagi Lajim, beliau sudah
berpuas hati kerana menyatakan apa yang tersirat di hatinya.
Namun, berdasarkan track recordnya, pengalaman dan
keberaniannya sebelum ini membuatkan Lajim sekali lagi berani membuat
keputusan dan tindakan politiknya dengan menggunakan 'lompatan katak'
dalam tindakan dan keputusan politiknya.
Kali ini Lajim melakukan tiga langkah untuk lompatannya yang mungkin terakhir dalam karier politiknya.
Langkah pertama ialah mengumumkan tidak akan pertahankan kerusi Ketua
Bahagian dan peletakan jawatan ketua cawangan UMNO, sementara langkah
kedua ialah perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua
UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort
berkuat kuasa serta-merta.
Kelmarin pada lompatan kecil keduanya, Lajim mengumumkan perletakan
jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort
dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta.
Lajim yang masih Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan
tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
bukanlah sesuatu yang mengejutkan, jika mengikut politik ala-Sabah.
Sementara lompatan ketiga yang menjadi 'lompatan besar' yang akan
dibuat olehLajim selepas ini memerlukan kita 'tunggu dan lihat," yang
berkemungkian akan menjadi sesuatu yang menarik menjelang PRU-13.
Jika sebelum ini Lajim membuat 'lompatan katak' selepas pilihan raya
tetapi kini beliau tidak sabar lagi untuk melakukan lompatan ketiganya
yang beliau yakin akan mencipta sesuatu yang baik untuk 'dirinya dan
rakyat Sabah'.
Di sebalik kata-kata dan anggapan bahawa Lajim bagaikan 'gunting
dalam lipatan' atau 'biawak hidup' dalam UMNO dan BN serta pelbagai
lagi, Lajim sedang mengatur langkah untuk bergerak lebh jauh.
Ketua Perhubungan PKR Sabah Ahmad Tamrin Jaini mengesahkan bahawa
ketua pembangkang Anwar Ibrahim dijemput untuk menghadiri pelancaran
satu pergerakan politik baru oleh dua orang Ahli Parlimen BN Lajim Ukin
(Beaufort) dan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Tuaran). Pergerakan
tersebut dikenali dengan nama Angkatan Perubahan Sabah (Sabah Reform
Front - SRF).
Pada Majlis Berbuka Puasa Sabtu lalu, Lajim mengisytiharkan gerakan
'Pakatan Perubahan Sabah' di kediamannya di Likas Jaya. Cuma persoalan
yang bermain di fikirkan kita ialah apakah lompatan Lajim kali ini cukup
panjang? Apakah dia yakin tidak akan terjatuh dan lemas dalam keputusan
dan masa depan politiknya?
Apakah lompatan ketiga ini membawa tuah seperti lompatan dari PBS ke
UMNO pada 1994 dan sanggup menerima risiko kemungkinan tenggelam terus
dalam karier politiknya.
Lajim nampaknya sangat terpengaruh dengan pujukan pemimpin
pembangkang khususnya Anwar mungkin yakin mampu mengulangi usaha menawan
Putrajaya sebelum ini.
Lajim jangan lupa bahawa BN, khususnya yang memerintah Sabah sudah
membuktikan ia mampu membawa perubahan sebagai mana diakuinya sendiri
dalam Utusan Malaysia 22 Januari 2010.
Amat jelas warna-warni politik Sabah untuk seketika akan tertumpu
kepada keputusan Lajim, Perdana Menteri dan Majlis Tertinggi UMNO yang
akan menentukan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri dan dalam
parti.
Pada ketika yang sama, walaupun pemimpin UMNO Sabah nampak tenang,
namun sebarang pengumuman dan lompatan besar Lajim kali ini akan turut
memberikan kesan kepada kedudukan Sabah sebagai deposit kekal BN.
Sama ada kesannya seperti yang berlaku pada 1994 atau sebaliknya kita
perlu tunggu seketika. Pengajaran ialah dalam politik walaupun sebesar
mana janji pemimpin untuk berkorban dan mengabdi kepada parti, apabila
kepentingan peribadi dan harga diri tercabar atau mula tidak didengari,
selalunya jalan yang tersedia ialah mengundur diri atau membuat lompatan
katak besar seperti yang akan dilakukan Lajim dalam sehari dua ini.
/hwa: utusan.com.my | 31/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan