31 Julai 2012

Topeng Pas-DAP tak bertahan lama

LABIS 29 Julai - Kerjasama Pas dan DAP ketika ini disifatkan hanya bersifat sementara demi mencapai matlamat politik mereka iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun perjuangan sebenar kedua-dua parti itu adalah jauh berbeza.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong (gambar) berkata, kerjasama yang wujud antara kedua-duanya adalah ibarat topeng untuk menarik perhatian pengundi yang tidak bertahan lama kerana hakikatnya mereka bercakaran sesama sendiri dalam banyak hal.
"Seperti yang semua tahu Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terang-terangan menentang perjuangan negara Islam Pas dan memaksa parti itu mengatakan apa yang diperjuangkan adalah negara berkebajikan.
"Begitu juga agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum, setakat ini tidak nampak sebarang kesepakatan antara mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan berjumlah RM118,000 untuk 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bangunan MCA Labis, di sini semalam.
Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, BN menunjukkan realiti berlainan kerana ahli komponennya saling menghormati dalam perkongsian kuasa dan ia tidak mungkin dapat dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP.
Sehubungan itu, katanya, rakyat sewajarnya bijak dalam menilai segala tindak tanduk pembangkang terutama segala janji membela nasib rakyat yang ditaburkan sebelum ini masih tidak tertunai di negeri yang mereka kuasai.
"Seandainya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang, perpecahan akan berlaku dan rakyat akan menderita. Jadi, kenapa kita harus mempertaruhkan nasib kepada pihak yang terbukti tidak mampu membela nasib kita.
"Lihat sahaja apa yang terjadi di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang, pelbagai masalah timbul dan mereka tidak dapat mengatasinya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 30/7/12 

Tiada ulasan: