KUALA LUMPUR 21 Ogos - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Azmin Ali dinasihatkan agar kembali ke pangkuan ibunya, Che Tom Yahaya
dan memohon keampunan sekiranya ada melakukan kesilapan sempena Syawal
ini.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati). Datuk Dr. Hasan Ali
menasihatkan Ahli Parlimen Gombak itu melupakan seketika segala
urusannya dan pulang bertemu ibu sendiri sementara masih berkesempatan.
"Azmin harus ingat, hari ini ibunya mungkin membawa diri ke Melaka
kerana kecewa dengannya, bagaimana jika Che Tom membawa diri dan
berhijrah sehingga tidak pulang-pulang?
"Di bulan yang mulia ini, jenguklah (ibu), walau sebesar mana pun
silap kita pada ibu atau kesalahan ibu terhadap kita, kebiasaannya akan
dimaafkan, itulah kelebihan bulan Syawal. Ingatlah reda Allah bergantung
kepada reda seorang ibu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kekecewaan Che Tom apabila Azmin tidak pulang menjenguknya pada Aidilfitri.
Malah, menurut Che Tom, Azmin langsung tidak pernah balik ke rumah
untuk bertanya khabar apatah lagi berbuka puasa bersama keluarga
sepanjang Ramadan lalu.
Disebabkan kekecewaannya itu juga, Che Tom mengajak anak-anaknya yang
lain beraya di luar ibu kota buat pertama kali sejak lebih 40 tahun
lalu.
Adik Azmin, Ummi Hafilda sebelum ini mengulangi kenyataannya bahawa
abangnya itu berubah sikap sejak berkawan rapat dengan Penasihat PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dia lebih mementingkan Anwar berbanding ibu dan adik beradiknya hanya kerana kepentingan politik," kata Ummi Hafilda.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Perpaduan Melayu Gombak, Mohammad Nazlee Aziz Yeop
pula berkata, sebagai seorang Muslim dan juga pemimpin sebuah parti
politik, Azmin sewajarnya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
Beliau turut menasihatkan Azmin supaya melupakan seketika soal politik dan pulang bertemu serta bermaaf-maafan dengan ibunya.
"Jangan terlalu ghairah dengan kuasa dan politik. Azmin perlu sedar
bahawa sebagai salah seorang pemimpin parti politik, setiap
tindak-tanduknya diperhatikan oleh rakyat khususnya di Parlimennya iaitu
Gombak.
"Jika ibu sendiri pun tidak terjaga, bagaimana mahu menjaga kebajikan rakyat di Gombak. Fikir-fikirkanlah," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan