
Mustapa Mohamed menyampaikan duit
raya kepada kanak-kanak pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di
kediamannya di Darul Falah, Jeli, semalam.
*****
JELI 21 Ogos - Tindakan segelintir khatib di beberapa kampung di
negeri ini yang cuba menanam kebencian terhadap kepimpinan negara yang
diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi khutbah
Aidilfitri baru-baru ini amat dikesali.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, khutbah yang disampaikan itu juga didakwa mengandungi
banyak unsur kecaman kepada pemimpin dan sistem pemerintahan di negara
ini.
Malah, kata beliau, lebih teruk lagi ialah apabila pada satu
peringkat khutbah yang disampaikan itu turut menyamakan negara ini
dengan negara yang diperintah oleh kuasa diktator.
"Kita telah menerima laporan mengenai isi kandungan khutbah hari raya
seumpama itu yang disampaikan di sesetengah kampung di Kelantan.
"Tidak wajar untuk menyamakan negara kita dengan negara lain yang
dikuasai pemerintahan diktator dan ia adalah fitnah dan dusta yang
nyata," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Darul Falah di
sini hari ini.
Lebih 10,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat
di seluruh Kelantan membanjiri rumah terbuka berkenaan yang bermula
seawal pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira 4 petang ini.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menambah,
rakyat negeri ini sudah pasti tidak boleh menerima khutbah yang berbaur
hasutan dan fitnah seperti itu.
"Hakikatnya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib tidak melakukan
penindasan, kezaliman dan ketidakadilan kepada rakyat seperti negara
diktator yang digambarkan di dalam khutbah itu.
"Kita membantu rakyat, selalu turun padang dan yang penting kita
mempunyai komitmen tinggi untuk membawa perubahan terhadap negara ini,"
katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu pihak yang sengaja memburuk-burukkan
kepimpinan negara supaya membuat penilaian dan melakukan penyelidikan
sama ada benar atau sebaliknya kerajaan memerintah secara diktator.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan