
NAJIB Tun Razak menyampaikan imbuhan
berjumlah RM200,000 kepada Lee Chong Wei dalam bentuk Amanah Saham
Wawasan sambil diperhatikan Rosmah Mansor dan Nadzmi Mohd. Salleh
(kiri) di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
*****
PUTRAJAYA 12 Ogos - Jaguh badminton negara Datuk
Lee Chong Wei hari ini menerima ganjaran RM500,000 di atas kejayaannya
meraih pingat perak dalam acara perseorangan badminton sukan Olimpik
London 2012.
Ganjaran itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam majlis di Seri Perdana di sini yang turut dihadiri isteri
Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Persatuan
Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh.
Ganjaran itu meliputi RM300,000 sumbangan Skim Hadiah Kemenangan
Sukan, Majlis Sukan Negara dan RM200,000 sumbangan kerajaan Malaysia
dalam bentuk Amanah Saham Wawasan.
Selain itu, Chong Wei turut menerima hadiah seutas jam tangan yang
disampaikan Rosmah, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri mengucapkan tahniah di atas
kejayaan jaguh badminton negara itu meraih pingat perak dan yakin ia
akan menguatkan lagi azam Chong Wei untuk mencipta kejayaan lebih
cemerlang di Olimpik 2016.
"Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi beliau (Chong Wei) untuk
meraih emas tetapi beliau sudah berhempas pulas dan berjuang
habis-habisan.
"Itu sudah menunjukkan betapa besar jiwanya untuk mencapai kejayaan
dan diharapkan tidak putus asa untuk mencipta kejayaan yang lebih
membanggakan," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyatakan persetujuan mengenai cadangan
mewujudkan Akademi Badminton Negara di Pusat Latihan Badminton Stadium
Juara Bukit Kiara.
Sementara itu, Chong Wei, 30, berkata beliau akan mempertimbangkan
hasrat Perdana Menteri untuk melihat beliau kembali merebut pingat emas
pertama pada temasya Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri atas ganjaran hari
ini, saya akan simpan duit itu. Walaupun tidak dapat membawa balik
pingat emas, kerajaan masih memberi sokongan kepada saya. Bagaimanapun
saya telah buat yang terbaik," katanya.
Chong Wei berharap dengan sokongan tersebut, ia akan menyuntik
semangat untuk dirinya meneruskan aksi di sukan Olimpik akan datang,
sebagaimana yang dihasratkan Perdana Menteri.
"Bagaimanapun saya perlu lihat prestasi saya dua tahun lagi iaitu
selepas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di
Glasgow, Scotland, kedua-duanya pada 2014. Jika masih fit (cukup cergas)
saya akan teruskan pada Olimpik 2016," katanya. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 13/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan