15 Ogos 2012

Pendirian Pas makin goyah - Hasan Ali

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pendirian Pas yang semakin lemah dalam memperjuangkan perlembagaan Islam termasuk elemen hudud sekiranya pakatan pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang akibat tekanan daripada DAP adalah menyedihkan.
Bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, pendirian Islam parti itu semakin goyah, tidak lain dan tidak bukan ialah kerana golongan 'parasit' dalam parti tersebut gagal bersuara dengan lantang setiap kali didesak DAP.
Lebih menyedihkan, kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu, golongan parasit dalam Pas yang kini merangkumi 70 peratus daripada bilangan kepimpinan tertinggi parti berkenaan bukan berhasrat menegakkan perjuangan negara Islam, sebaliknya hanya berminat untuk menguasai kerajaan.
"Saya sedih kawan-kawan dalam Pas sebagai parasit dan tidak ada seorang pun yang bersuara.
"Semakin kuat dan lantang penolakan DAP terhadap Islam dan hudud, golongan parasit dalam Pas ini semakin menyorok kerana takut undi bukan Islam (terhadap pembangkang) akan terjejas," katanya.
Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata demikian bagi mengulas kemelut terbaru antara Pas dan DAP mengenai pelaksanaan hudud pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Jati Bersama Mangsa Kristianisasi, di sini hari ini.
Hasan berkata, sikap serta pendirian Pas mengenai perjuangan negara Islam dan elemen hudud tersebut bakal menyebabkan ia ditolak oleh ahli parti itu di peringkat akar umbi.
Justeru untuk mengekalkan sokongan, katanya, Pas perlu membuat ketetapan serta keputusan yang teguh mengenai kedudukan parti tersebut dalam pakatan pembangkang.
"Majlis Syura Pas perlu membuat ketetapan mengenai kedudukan parti dalam pakatan pembangkang kerana Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sendiri pernah menasihatkan parti itu mencari rakan baru untuk menegakkan hudud," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 14/8/12 

Tiada ulasan: