27 Ogos 2012

DAP tidak beri peluang kepada ahli bela diri

PULAU PINANG 25 Ogos - Pemimpin DAP di peringkat akar umbi tidak diberikan ruang secukupnya untuk tampil membela diri oleh Lembaga Disiplin sekiranya mereka dikenakan tindakan akibat mengkritik pemimpin atasan dan parti tersebut.
Bekas ahlinya, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, perkara itu bukan rahsia besar lagi dalam DAP sehingga menyebabkan ramai yang mula angkat kaki daripada perjuangan parti itu yang dilihat semakin tersasar sejak diberikan kuasa oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
"Pemimpin bawahan tidak diberi peluang, malah akan dipecat terus jika mengkritik parti. Di negeri ini pula, jika ada ahli DAP yang tidak sehaluan dengan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, maka individu itu tidak akan mampu bertahan lama dalam parti.
"Bagaimanapun, jika anda mempunyai hubungan yang baik atau lebih tepat lagi kroni Guan Eng, maka orang itu mempunyai lesen besar untuk berbuat apa sahaja tanpa dikenakan tindakan disiplin," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas penolakan ahli DAP yang semakin ketara terhadap parti itu terutama bekas -bekas pemimpin akar umbi yang dipecat kerana menentang penyelewengan yang berlaku dan mengecam corak kepimpinan parti tersebut.
Terbaru bekas Ketua Audit DAP Cawangan Kampung Aman, Seri Kembangan, Yap Kon Min serta R. Bellasamy yang pernah memegang jawatan Pengerusi Pantai Sepang juga mendedahkan mereka pernah menjadi mangsa kuku besi pentadbiran parti itu.
Sebelum ini, Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang juga bekas Naib Presiden parti itu turut meninggalkan DAP kerana menerima layanan buruk pucuk pimpinan selepas menyatakan pandangannya yang tidak menyokong perhimpunan Bersih 3.0.
Mengulas lanjut, Razali berkata, "sejarah" pernah membuktikan bahawa Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang tidak dikenakan tindakan tatatertib berhubung satu isu sensitif yang ditimbulkannya tahun lalu.
"Guan Eng terlalu kebal dalam DAP sehingga tidak ada sesiapa berani mengusiknya. Kalau berlaku, maka bersedialah untuk menerima tindakan selanjutnya.
"Oleh itu, ramai ahli peringkat bawahan malahan pemimpin kanan DAP peringkat negeri yang tidak berpuas hati terpaksa mendiamkan diri dan memendam rasa walaupun ada banyak perkara yang mereka tidak bersetuju," katanya.
Tegas beliau, dalam konteks di Pulau Pinang pula, sebenarnya terdapat beberapa pemimpin utama DAP termasuk orang lama yang tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan Guan Eng tetapi hanya mampu memendam rasa dan menyuarakan di belakang sahaja tanpa membuat bantahan rasmi.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12

Tiada ulasan: