KUALA LUMPUR 6 Jan. - DAP tidak akan teragak-agak untuk mengambil
tindakan mahkamah jika Pas masih terus melaksanakan etika berpakaian
bagi wanita bukan Islam di Terengganu.
Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu tidak akan
membiarkan Pas bertindak sewenang-wenangnya ke atas hak-hak perlembagaan
masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.
"Saya juga mencabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang untuk menamakan pemimpin bukan Islam yang ditemui oleh pihak Pas
untuk berbincang mengenai peraturan etika berpakaian berkenaan," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran peraturan Majlis Perbandaran
Kuala Terengganu (MPKT) yang wanita bukan Islam di negeri itu dilarang
memakai baju lengan pendek, seluar jeans, skirt labuh berbelah dan skirt
pendek.
Pengumuman tersebut turut mendapat bantahan daripada pemimpin DAP
lain yang menyifatkan ia sebagai tidak menghormati kebebasan kaum lain.
Abdul Hadi dalam satu kenyataan ketika mengulas peraturan etika
berpakaian itu berkata, kod pakaian ialah satu 'isu moral' bagi orang
Islam dan bukan Islam.
Abdul Hadi turut mendakwa bahawa pihaknya telah mengadakan
perbincangan dengan pemimpin bukan Islam sebelum melaksanakan peraturan
tersebut.
Karpal menambah, mengikut apa yang terkandung di dalam Perlembagaan
Persekutuan, Abdul Hadi tidak layak untuk menyentuh isu moral.
"Selain itu, mahkamah yang ada di negara ini juga adalah mahkamah
perundangan dan bukan mahkamah yang membicarakan isu berhubung moral,"
katanya lagi.
Sehubungan itu, Karpal meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani
Patail supaya memberikan pendapat beliau demi meredakan kebimbangan
bukan Islam terhadap Pas yang seolah-olah mengabaikan Perlembagaan
Persekutuan.
/hwa: utusan.com.my | 13/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan