KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra
Kamarudin membuktikan pembangkang semakin terdesak sehingga terpaksa
menggunakan taktik lebih liar untuk menjejaskan kredibiliti Datuk Seri
Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
Pemerhati politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, taktik itu jelas menunjukkan pembangkang mengamalkan sistem yang diluar norma-norma berpolitik.
"Parti pembangkang seolah-olah dalam keadaan gerhana, sebab itu
pelbagai taktik kotor dirancang untuk mempengaruhi rakyat termasuk dalam
kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.
"Tetapi nampaknya taktik mereka ini lama-kelamaan memakan diri
apabila individu yang dibelakang mereka selama ini iaitu Raja Petra
membuat pendedahan demi pendedahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendedahan Raja Petra mengenai komplot
fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasundram
yang menuduh Perdana Menteri terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia
itu.
Bagaimanapun, Ahmad menyifatkan seni politik yang tidak munasabah
oleh pembangkang itu nampaknya semakin banyak memberi kelebihan dan
membantu meningkatkan kredibiliti Najib.
"Mengapa Najib mendapat faedah daripada taktik kotor ini? Jawapannya
ialah rakyat Malaysia tidak menerima taktik kotor kerana di negara ini
jumlah yang bijak pandai dan berpendidikan semakin banyak.
"Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bukan lagi hidup di zaman 50
tahun dulu yang menerima dan mempercayai sesuatu isu tanpa berfikir,"
ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi
berkata, pembangkang terpaksa menyerang imej dan peribadi Perdana
Menteri kerana mereka tidak mampu mengatasi gerak kerja dan kepimpinan
beliau.
Menurutnya, dalam mana-mana propaganda pun, serangan atau merosakkan
imej individu adalah lebih mudah dan pendekatan inilah yang digunakan
oleh pembangkang.
"Macam kes pembunuhan Altantuya, pembangkang mengheret imej Najib
kerana cara itu lebih mudah untuk meningkatkan emosi marah rakyat.
"Bagaimanapun, rakyat semakin bijak menilai dan menolak semua tohmahan yang tidak berasas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 13/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan