TEMA hari kemerdekaan 'Merdeka 55 Tahun Janji Ditepati' jelas menyebabkan pihak pembangkang rasa terpukul pukulan knock-out
(KO). Dengan senarai manifesto yakni janji pilihan raya di Selangor
masih banyak belum dipenuhi kerana mempolitikkan isu yang boleh selesai
dengan sekeping surat, pembangkang ibarat cacing kepanasan.
Perdana Menteri sendiri kelmarin dilaporkan berkata, Barisan Nasional
(BN) sanggup ditolak oleh rakyat jika gagal menunaikan janji. Satu
kenyataan berani yang jarang disebut oleh mana-mana pemimpin di dunia.
Bagi parti pembangkang mereka pula lebih selesa mempolitikkan isu yang
kadangkala bersifat senjata makan tuan.
Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said diharap boleh mendeklamasi sajak Tun Dr. Mahathir berjudul Melayu Mudah Lupa
kepada 'kawan-kawannya' dalam kalangan ahli parti pembangkang. Masihkah
kita semua masih ingat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah
berkata, perjuangan UMNO dan BN adalah bersifat kebangsaan bukannya
untuk agama Islam. Namun hari ini beliau sendiri dipaksa menerima tema
'Sebangsa, Senegara dan Sejiwa'. Sepatutnya bukan sebangsa tapi seagama.
Jika Pas mendukung tema ini, ia jelas memperlihatkan sikap hipokrit
yang melampau dalam kepimpinan parti tersebut. Baru-baru ini semasa
debat dengan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya dari Ilmuwan di Shah Alam,
Selangor Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan juga 'terkantoi' dengan
kenyataan tentang sokongan Pengerusi DAP, Karpal Singh bertoleransi
dalam soal pelaksanaan hukum hudud. Sedangkan DAP konsisten dengan
pendirian mereka menolak hukum tesebut.
Hari ini parti pembangkang cuba mempolitikkan tema hari merdeka
seolah-olah perkataan Janji Ditepati ibarat cahaya lampu limpah menyuluh
ke arah mereka. Semasa tema 1Malaysia digunakan pada Hari Kemerdekaan
tahun 2009, tidak pula mereka mencipta tema sendiri, sedangkan jika
dibaca dan difikirkan tema 'Sebangsa, Senegara dan Sejiwa' sama sahaja
maknanya dengan Dasar 1Malaysia kecuali mereka tidak akan mematuhi motto
'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Motto mereka adalah
'Politik didahulukan, Polemik diutamakan'.
Tema Senegara dan Sebangsa boleh juga diterima, kerana berbunyi
patriotik, namun Sejiwa, ia jelas bercanggah dalam kepimpinan parti
pembangkang sendiri. Sehingga hari ini, PKR, Pas dan DAP masih belum
mencapai makna sejiwa dalam perjuangan politik mereka.
Adakah mereka pasti mereka mampu sejiwa kerana DAP jelas tidak sebulu
dengan Pas dalam soal perlaksanaan hukum hudud, hingga ada yang
mengecop hubungan antara mereka lebih bersifat kahwin paksa.
Bagi PKR sendiri masih berkira-kira mencari calon lompat parti dalam
kem mereka sebagai calon pilihan raya. Adakah calon dalam DAP dan Pas
tidak layak mengisi slot tersebut hingga tawaran dibuat kepada pemimpin
Barisan Nasional (BN) yang dianggap berjiwa lemah dalam perjuangan
menegakkan agama, bangsa dan negara. Hakikatnya yang berjiwa lemah dan
tamakkan kuasa hanya segelintir yang sanggup mencurahkan air di tempayan
setelah mendengar guruh di langit, sedangkan ia bunyi kapal terbang
yang melintas.
Kepada pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang, cukup-cukuplah mereka
ditimpa Tragedi 16 September 2008 hingga pemimpin seperti Ahli Parlimen
Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin turut tertipu dengan janji
Ketua Pembangkang hendak mengambil alih Putrajaya. Mempolitikkan tema
merdeka jelas menunjukkan mereka sudah kehabisan peluru untuk menyerang
Dasar 1Malaysia yang hadir dengan pelbagai jenis produk hingga
membuatkan mereka tidak lagi ruang untuk mengkritik.
Apa yang boleh disimpulkan ketiga-tiga parti masih bersikap
jiwa-jiwa, bak kata orang muda hari ini terlalu sensitif dengan setiap
dasar kerajaan hingga tiada satu pun dasar yang dianggap cocok dengan
naluri mereka. Contohilah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam mengotakan segala janji Bajet 2012 yang dibentangkan 7 Oktober
tahun lalu.
Justeru, kepada pemimpin pembangkang jika tema Janji Ditepati
berbunyi terlalu BN maka terimalah dengan hati dan minda yang terbuka
kerana pengertian Janji Ditepati begitu luas. Ia mungkin bermakna
saranan kepada diri mereka sendiri untuk segera menunaikan janji-janji
manifesto yang masih tertunggak kerana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13
sudah tidak lama lagi. Mungkin itu yang menyebabkan pemimpin pembangkang
berasa tidak puas hati seolah-olah dunia ini tidak adil kepada mereka.
Hakikatnya pembangkang adalah rakyat Malaysia juga dan perlulah mereka
menghormati pendirian Ulil Amri yang melahirkan tema tersebut.
Pihak pembangkang perlu segera menunaikan janji manifesto mereka
sebelum dicop sebagai munafik dan ditolak oleh pengundi. Di Selangor,
rakyat sanggup memilih pakatan pembangkang sebagai kerajaan negeri pada
PRU-12 dan memberi mereka peluang mentadbir, namun setakat ini tidak
banyak yang boleh dibanggakan oleh rakyat negeri ini. Rumah kos rendah
pun tidak ada.
Tema Janji Ditepati hendaklah juga dihayati oleh pemimpin Barisan
Nasional di seluruh negara supaya jangan terlampau petah membuat janji
tapi tidak ditepati. Ingatlah bahawa parti pembangkang seperti PKR dan
parti Angkatan Perubahan Sabah (Sabah Reform Front - SRF) sedang giat
mengintai calon untuk direkrut sebagai skuad penabur janji yang baru.
Insya-Allah, kepada pemimpin BN yang menjadi calon PRU-13 dan komited
menunaikan janji, pasti meraih undi majoriti.
/hwa: utusan.com.my | 13/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan