30 Ogos 2012

Mansor perlu berani lawan Guan Eng - Aminah

BUKIT MERTAJAM 28 Ogos - Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman perlu membuang jauh sifat 'penakut' pada dirinya terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng demi membela nasib orang Melayu di negeri ini.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, Mansor sepatutnya berpendirian tegas dan bukan hanya patuh membuta tuli terhadap segala arahan Guan Eng.
Katanya, sebagai pemimpin tertinggi orang Melayu di negeri ini, Mansor yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang tidak boleh sekadar berdiam diri dan hanya melihat nasib kaumnya terus ditindas.
"Saya cabar Mansor memberanikan diri buka mulut bersuara kepada Guan Eng demi orang Melayu.
"Dia (Mansor) tidak boleh berdiam diri sahaja, jangan jadi penakut," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Aminah ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Pulau Pinang yang dihadiri kira-kira 1,000 orang tetamu di sini.
Hadir sama Pengarah Jasa negeri, Ahmad Lutfi Ibrahim.
Mansor sebelum ini menafikan pernah menggunakan perkataan 'sombong dan angkuh' terhadap Guan Eng.
Bagaimanapun Mansor mengakui menggunakan perkataan 'tokong' sebagai gelaran kepada Guan Eng yang bermaksud 'sanjungan tinggi dan penghormatan rakyat Pulau Pinang kepada Setiausaha Agung DAP itu'.
Aminah memberitahu, dalam parti, Mansor memang dikenali dengan sikap takut untuk berdepan risiko sejak dari dulu lagi.
"Kami kenal siapa dia (Mansor), kami biasa kerja dengan dia (dalam PKR)," ujarnya.
Beliau menambah, dalam situasi sekarang, Mansor berkemungkinan takut untuk bersuara kerana tidak mahu kehilangan jawatan yang disandangnya atau kerusi wakil rakyat pada pilihan raya umum nanti.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12

Tiada ulasan: