KUALA LUMPUR 28 Ogos - Selepas menerima sokongan
secara terbuka daripada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, bekas
Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa terus dipertahankan dan
kali ini disuarakan oleh lebih ramai pemimpin Pas di seluruh negara.
Sokongan tersebut dizahirkan kerana Nasharudin yang juga Ahli
Parlimen Bachok dilihat sebagai seorang pemimpin masa depan bagi parti
itu dan mempunyai pengalaman luas berdasarkan pembabitannya dari usia
muda dalam perjuangan parti.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata,
sejak berkecimpung di dalam bidang politik, Nasharudin telah memegang
pelbagai jawatan penting iaitu daripada Setiausaha Agung Pas sehingga
pernah dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas dan itu menunjukkan
kewibawaannya sebagai seorang pemimpin.
Sehubungan itu beliau berkata, berdasarkan rekod sememangnya
kepimpinan serta pengalaman Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok
masih diperlukan di dalam Pas.
''Saya sebenarnya yakin pada mesyuarat Ahli Majlis Syura Ulama Pas
pada 9 September ini iaitu mereka tidak akan terikut-ikut dengan rentak
pihak yang mahu mengetepikan Nasharudin.
''Dengan kata lain tiada keputusan drastik yang akan dibuat.
Insya-Allah keputusan yang bakal diambil pada mesyuarat berkenaan lebih
memberi manfaat kepada kedudukan Nasharudin dalam Pas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai sokongan terbuka
Harun terhadap Nasharudin yang selama ini kurang disenangi golongan
'Anwarinas' di dalam Pas.
Ia merupakan sokongan terbuka pertama yang diterima Nasharudin
daripada pucuk pimpinan Pas selepas banyak pihak dalam parti itu
termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengambil
pendirian seolah-olah Ahli Parlimen Bachok itu sudah tidak penting.
Mahfodz yang juga salah seorang Ahli Majlis Syura Ulama berkata,
tidak dinafikan sekiranya keputusan drastik diambil, kemungkinan besar
ia boleh memberi kesan negatif kepada parti lebih-lebih lagi dalam usaha
Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas negeri Selangor, Muhamad Zin Abdul Rahman
berkata, semua pihak termasuk pemimpin parti itu tidak seharusnya
menghukum Nasharudin tanpa memberi peluang kepada beliau terlebih dahulu
memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama Pas.
"Saya bukannya hendak kata yang saya sokong Ustaz Nasharudin atau
tidak tetapi adalah tidak adil untuk kita menghukum beliau hanya
berdasarkan apa yang kita lihat melalui media. Beliau juga berhak untuk
mempertahankan diri dan menjelaskan apa yang berlaku kepada Majlis Syura
Ulama Pas.
"Hanya selepas memberi penjelasan dan mempertahankan tindakannya itu,
barulah Majlis Syura Ulama boleh menilai sama ada beliau bersalah atau
sebaliknya," katanya
Ketua Dewan Pemuda Pas negeri Terengganu, Mohd. Nor Hamzah
pula berkata, Nasharudin sangat relevan kepada perjuangan Pas kerana
beliau merupakan anak didik bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil
Noor dan juga pemimpin Pemuda yang menjadi harapan perjuangan Pas.
"Dari segi rekod, Nasharudin memang sangat rapat dengan Allahyarham
Datuk Fadzil Noor, malah beliau telah dibawa masuk dan dididik oleh
arwah untuk menjadi pemimpin Pas. Harapan saya, dia sepatutnya boleh
diberi ruang lagi kerana kelebihan yang dia ada.
"Masing-masing ada jasa dan setiap insan ada kelemahannya, begitu
juga dengan Ustaz Nasharudin, setiap orang ada kelebihannya dan
perjuangan Pas terbuka untuk sesiapa sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Zawawi Nik Salleh berkata,
beliau bersetuju Nasharudin masih relevan kepada perjuangan Pas dan
bekas Timbalan Presiden parti juga telah banyak memberi sumbangan dan
buah fikiran.
"Pas tidak akan meminggirkan sesiapa, perkara ini terpulang kepada individu masing-masing yang sanggup berkhidmat,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan