KUALA LUMPUR 27 Ogos - Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz mendakwa Mohamad Sabu (gambar)
terpaksa menggunakan 'politik kotor' dengan memfitnah orang yang telah
meninggal dunia demi mendapatkan semula kepercayaan dalam kalangan ahli
Pas ketika parti berkenaan tertekan dalam isu hudud.
Menurut beliau, Timbalan Presiden Pas itu tidak berani memfitnah
orang yang masih hidup kerana bimbang dikecam teruk dan kerana itu,
beliau telah bertindak mencemarkan nama bekas Timbalan Perdana Menteri,
Allahyarham Tun Ghafar Baba.
"Beliau harus ingat, rakyat tidak bodoh untuk mempercayai apa yang beliau katakan. Jangan kuat sangat main politik kotor.
"Cukup-cukuplah, jangan sampai libatkan negarawan dalam permainan
politiknya yang tidak pernah bersih itu," katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Mohamad Aziz mengulas kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang mendakwa
Tun Ghafar akan menyertai Pas sekiranya Allahyarham masih hidup sama
seperti yang dilakukan oleh anak Allahyarham, Tamrin.
Dakwaan itu dikeluarkan oleh Mat Sabu ketika beliau berceramah di Bukit Katil, Melaka, baru-baru ini.
Menurut Mohamad, beliau percaya dakwaan Mat Sabu itu adalah fitnah
dan menasihatkan pemimpin tertinggi Pas berkenaan tidak
sewenang-wenangnya menyamakan Tun Ghafar dengan Tamrin.
"Tamrin tidak ada asas perjuangan seperti bapanya. Tun Ghafar
merupakan seorang pejuang yang gigih dan tulen dalam UMNO, malah kita
semua kenal siapa bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Beliau telah sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dengan para pemimpin UMNO terdahulu.
"Tun Ghafar juga amat sayangkan UMNO, tidak mungkin Allahyarham akan
berkata seperti itu atau melakukan perkara sedemikian. Saya masih ingat
ketika hayatnya, Tun Ghafar sering menasihatkan saya supaya menjaga UMNO
dengan sebaik mungkin," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan