29 Ogos 2012

Pembangkang tidak pernah peduli untuk tunai janji

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pembangkang akan terus menabur janji menggunung demi meraih sokongan rakyat meskipun 85 peratus janji-janji terdahulu masih belum ditunaikan.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana sudah menjadi budaya pembangkang berbohong dan menabur janji kepada rakyat tanpa rasa bersalah.
"Saya yakin janji yang tidak tertunai sebelum ini akan dilaungkan semula pada pilihan raya umum akan datang, selain menabur janji baru yang tidak munasabah. Pakatan pembangkang tidak peduli untuk menunaikan janji dan tidak takut berbohong kepada rakyat.
"Mereka tidak rasa bersalah berbohong kepada rakyat, menabur janji secara lisan atau bertulis dan mengingkari janji-janji itu kerana budaya berbohong sudah menjadi amalan mereka sejak sekian lama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan pakatan pembangkang gagal menunaikan lebih 85 peratus janji kepada rakyat yang ditabur mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.
Berdasarkan kajian, kerajaan negeri di bawah kepimpinan pakatan pembangkang hanya berjaya menunaikan tidak lebih 15 peratus daripada keseluruhan janji yang dibuat.
Muhammad Zahid berkata, rakyat yang berfikiran waras diyakini akan membuat keputusan bijak menolak kepimpinan pakatan pembangkang yang tidak menepati janji.
Katanya, disebabkan itu juga, pembangkang berasa malu dengan tema Hari Kebangsaan iaitu '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' kerana ia tidak menggambarkan apa yang dilakukan mereka selama ini.
"Pembangkang cukup takut slogan ini kerana mereka tidak mampu menunaikan janji. Misalnya, Pas di Kelantan biarpun selepas 22 tahun memerintah, masih belum mampu melaksanakan hukum hudud.
"Ketika pakatan pembangkang terkial-kial dalam memenuhi janji-janji mereka, Barisan Nasional (BN) sebaliknya berjaya memenuhi janji-janji kepada rakyat. Inilah perkara yang paling menggusarkan mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12 

Tiada ulasan: