29 Ogos 2012

Nasharudin masih relevan - Harun

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hayat politik Nasharudin Mat Isa yang sebelum ini kelam selepas ditekan hebat golongan 'Anwarinas' kini sedikit 'bercahaya' apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan bekas Timbalan Presiden Pas itu masih relevan.
Ia merupakan sokongan terbuka pertama yang diterima Nasharudin daripada pucuk pimpinan Pas selepas banyak pihak dalam parti itu termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengambil pendirian seolah-olah Ahli Parlimen Bachok tersebut sudah tidak penting.
"Saya sudah cakap dari dulu lagi, Nasharudin masih relevan. Beliau bekas Timbalan Presiden dan meskipun tidak terpilih pada muktamar lalu, Nasharudin masih mampu menyumbang kepada perjuangan Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai nasib yang bakal menimpa Nasharudin selepas Abdul Hadi menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk memutuskan tindakan terhadap bekas Timbalannya itu ekoran kenyataan mendesak Pas keluar daripada pakatan pembangkang.
Abdul Hadi sebelum ini menyifatkan Nasharudin sebagai pemimpin yang sudah ditolak akar umbi dan beliau tidak kisah jika UMNO mahu menggunakan khidmat Ahli Parlimen Bachok itu dan ia sekali gus memberi gambaran hayat politik pemimpin itu dalam Pas mungkin tidak berpanjangan.
Mengenai beberapa kenyataan Nasharudin yang tidak disenangi golongan 'Anwarinas', Harun berkata, jika bekas Timbalan Presiden Pas itu tidak berpuas hati dalam beberapa perkara ia perlu dinyatakan melalui saluran betul dan bukan dibuat secara terbuka di media.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azmi Musa turut mengakui Nasharudin masih relevan kepada perjuangan parti walaupun beliau dilihat mengambil pendekatan menongkah arus dalam mempertahan maruah Pas.
"Beliau ialah bekas Timbalan Presiden, sudah tentu masih relevan. Mungkin ramai yang tidak senang dengan tindakan beliau kebelakangan ini yang dilihat cukup lantang, tetapi untuk menidakkan sumbangan yang boleh dimainkan Nasharudin adalah tidak wajar.
"Apa pun keputusan pucuk pimpinan kami akan taat, tetapi saya mewakili pemimpin akar umbi berharap beliau diadili dengan sebaik-baiknya oleh Majlis Syura Ulama dan beliau harus diberi peluang untuk memberi penjelasan mengenai tindakan beliau," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/8/12

Tiada ulasan: