15 Ogos 2012

Nik Aziz tidak kisah Karpal tolak hudud

KOTA BHARU 13 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak peduli sekiranya Pengerusi DAP, Karpal Singh terus membuat kenyataan menolak negara Islam dan hukum hudud yang diperjuangkan Pas.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Karpal itu secara tidak langsung menyedarkan orang ramai mengenai negara Islam dan hukum hudud yang sebenarnya.
"Saya setuju biar dia 'geger' sokmo (selalu bising), daripada geger itulah orang faham tetapi jangan caci, guna akal kita,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal baru-baru ini yang menegaskan pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam oleh Pas adalah perkara yang paling tidak dipersetujui parti tersebut.
Menurut Karpal, DAP konsisten berhubung perkara itu dan pendirian parti tersebut tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus mempertahankannya.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menambah, bantahan beliau yang mewakili DAP itu berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.
Berikutan penentangan berterusan Karpal itu, beberapa ulama menegaskan adalah haram dan berdosa umat Islam menyokong parti yang bersekongkol dengan DAP kerana parti tersebut jelas menolak pelaksanaan hukum Islam.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, undang-undang yang diamalkan di negara ini lebih kejam daripada hukum hudud kerana melaksanakan hukuman gantung sampai mati.
"Di Malaysia, sudah beratus-ratus orang yang digantung sampai mati, sama ada kes dadah dan macam-macam lagi.
"Apabila kena gantung, emak dan isteri dia menangis, anak jadi yatim, tidak ada tempat bergantung. Kalau hudud, manusia tidak mati, kerat tangan sahaja, manusia boleh kerja buruh, jual ikan dan pensyarah, jadi hudud lebih baik daripada hukuman gantung sampai mati," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 14/8/12 

Tiada ulasan: