
Kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa
Pas tidak perlu mentarbiyahkan Karpal mengenai hukum hudud sudah
menampakkan dengan jelas ketidakberanian Pas mempertahankan perjuangan
Islamnya.
*****
APABILA Pas membuat keputusan menjalinkan kerjasama dengan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang ramai
tertanya-tanya, apakah Pas membuat tindakan yang betul.
Ia memandangkan Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama mempunyai
misi bagi melaksanakan pemerintahan Islam dan memperjuangkan hukum
hudud.
Tetapi sejak pilihan raya umum lalu, apabila Pas berjaya menawan
Kedah dan mempertahankan kekuasaan di Kelantan serta membantu PKR dan
DAP memerintah Pulau Pinang dan Selangor, kita jarang mendengar Pas
bercakap soal hukum hudud.
Keadaan itu berlaku kerana atas hasrat menjaga hubungan dengan
kedua-dua parti berkenaan, Pas dengan rela hati mengorbankan perjuangan
negara Islam dan hukum hududnya.
Apa yang lebih banyak kita dengar sebelum ini ialah keterujaan Pas
untuk bersama-sama PKR dan DAP menumbangkan Barisan Nasional (BN) bagi
membolehkan mereka menguasai Putrajaya.
Sebab itulah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas menghasilkan
manifesto bertemakan Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju
Negara Berkebajikan. Ia sekali gus bermakna secara rasmi Pas sudah
meninggalkan perjuangan negara Islam dan hukum hudud demi meraih
sokongan politik.
Justeru bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat acuh tidak acuh dalam isu
penentangan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh berhubung hukum
hudud.
Sebaliknya, Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Lujnah
Politik Pas lebih selesa mahu terus menjaga kepentingan politik Pas
apabila menganggap penentangan Karpal adalah perkara biasa dan menuding
jari mempersalahkan UMNO berikutan kemelut yang berlaku.
Biar pun Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan bahawa hukum hudud
akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi namun ia boleh
dianggap satu jawapan ibarat lepas batuk di tangga sahaja.
Ternyata Pas tidak mahu isu hukum hudud menggugat hubungannya dengan dua parti kesayangan mereka iaitu PKR dan DAP.
Tidak kisahlah kalau Pas terus diperkotak-katikkan atau dilihat
dibuli dalam pakatan pembangkang yang pasti Pas sanggup menempuh itu
semua semata-mata tidak mahu dipinggirkan oleh kedua-dua parti itu dalam
memburu kuasa.
Kenyataan
Berdasarkan kepada kenyataan Abdul Hadi dan Pas yang ternyata tiada
langsung menunjukkan keseriusan parti itu memperjuangkan hukum hudud
maka tidak perlulah pemimpin dan penyokong tegar Pas di peringkat akar
umbi bermuram durja kerana terbukti kini Pas bukan lagi memperjuangkan
Islam.
Harapan untuk mereka melihat pemimpin atasan bermati-matian
mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud serta berani menyanggah
penentangan DAP hanyalah satu mimpi indah yang tidak kesampaian.
Ternyata sekali lagi, hukum hudud hanyalah mainan politik Pas
menjelang pilihan raya, kalau benar mereka serius memperjuangkan perkara
berkenaan sudah pasti mereka akan senada dengan bekas Timbalan Presiden
Pas, Nasharudin Mat Isa.
Namun malangnya ketegasan Nasharudin mempertahankan dasar dan
prinsip perjuangan Pas serta membela maruah parti itu dianggap suara
pemimpin yang sudah ditolak oleh akar umbi.
Demikianlah hebatnya Pas mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP
sehinggakan mana-mana juga pemimpinnya yang dilihat tidak mahu menjaga
hubungan berkenaan akan dipinggirkan.
Mungkin atas alasan itulah pimpinan Pas menyerahkan kepada Majlis
Syura Ulama menentukan tindakan ke atas Nasharudin, ini sekali gus
memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Bachok itu sememangnya bersalah
pada kaca mata Pas kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji
kedudukannya dalam pakatan pembangkang.
Nasharudin adalah pemimpin kedua dalam Pas yang mungkin akan
disingkirkan selepas Datuk Dr.Hasan Ali dipecat daripada Pas kerana
dilihat tidak senada dengan parti itu dalam memberi sokongan kepada
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soal sama ada mereka mempertahankan maruah atau martabat Pas, Islam
mahupun dasar parti bukanlah perhitungan utama sebaliknya semua pemimpin
Pas perlu akur untuk terus berpeluk dengan pemimpin PKR dan DAP, biar
pun Pas diperkotak-katikkan serta menjadi pak turut.
Semua itu tidak penting bagi kepimpinan Pas kerana apa lebih utama
memburu kuasa politik, Pas mungkin sudah bosan hanya memerintah satu dua
negeri, Pas ingin menjadi pemerintah pusat selepas 66 tahun berjuang
dalam arena politik negara.
Justeru yang mana boleh dikorbankan hatta prinsip perjuangan sendiri
pun maka ia harus dikorbankan asalkan Pas boleh berada sekapal dengan
PKR dan DAP menuju ke Putrajaya.
Sikap
Sikap terbaru Pas ini yang tidak bersungguh-sungguh mempertahankan
perjuangan Islam dan hukum hudud perlu menyedarkan penyokong mereka di
peringkat akar umbi bahawa suara mereka tidak penting bagi pimpinan
atasan.
Tambahan pula, Pas kini sudah kehilangan keyakinan diri sebagai
sebuah parti yang hebat dan pemimpin mereka lebih takut dengan desakan
pemimpin-pemimpin PKR dan DAP berbanding penyokong sendiri.
Atas sebab itulah Pas dilihat lebih rela menghukum pemimpin sendiri
yang berjuang atas prinsip mempertahankan maruah parti daripada
melukakan hati pemimpin PKR dan DAP.
Pas memahami biar pun perjuangan Islam dan menegakkan hukum hudud
seharusnya menjadi keutamaan namun kegelojohan untuk menumbangkan BN dan
UMNO telah menutupi hasrat berkenaan.
Apatah lagi Pas tahu kalau mereka ingin terus kekal dalam pakatan
pembangkang, mereka perlu melupakan hukum hudud kerana parti itu tidak
akan disokong oleh mana-mana pemimpin-pemimpin PKR atau DAP.
Ia jelas apabila Anwar sendiri konsisten menolak hukum hudud Pas
atas alasan ia tidak ada dalam kesepakatan pembangkang melalui
penghasilan Buku Jingga.
Semua orang tahu, dalam pakatan PKR dan DAP mempunyai hubungan yang
jauh lebih akrab berbanding hubungan mereka dengan Pas. Malahan mereka
tidak pernah berasa gentar dengan ancaman politik Pas sebab mereka tahu
Pas hanya pak turut dan tidak memiliki kekuatan bagi membangkang
kehendak mereka.
Berdasarkan kepada keadaan itulah PKR dan DAP tidak perlu bersusah
payah mewujudkan forum bagi menyelesaikan perbalahan antara Karpal dan
Nasharudin.
Tidak payah DAP hendak meminta Penasihatnya, Lim Kit Siang atau
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bersuara, cukuplah Karpal seorang
berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Pas.
Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP memahami sikap konsisten Karpal dalam
isu hukum hudud sudah cukup ampuh bagi berhadapan dengan mana-mana
pemimpin Pas.
Kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas tidak perlu mentarbiyahkan
Karpal mengenai hukum hudud sudah menampakkan dengan jelas
ketidakberanian Pas mempertahankan perjuangan Islamnya.
Mereka tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan pakar
undang-undang seperti Karpal sebab pelaksanaan hukum hudud yang
dicanangkan oleh Pas bukannya mahu dilakukan secara bersungguh-sungguh
tetapi sekadar mencari modal politik menjelang pilihan raya sahaja.
Kalau mereka yakin bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan
adalah betul maka sudah pasti mereka akan mengajak pemimpin-pemimpin
DAP terutamanya Karpal berdebat.
Tetapi biasalah pemimpin-pemimpin Pas hanya berani berkokok kuat di
hadapan pemimpin-pemimpin UMNO sahaja, namun akan kecut perut apabila
perlu berhadapan dengan pemimpin PKR atau DAP bagi mempertahankan
prinsip mereka.
Demikianlah nasib Pas sebuah parti yang ditubuhkan 66 tahun lalu
atas hasrat memperjuangkan Islam tetapi akhirnya lemas akibat memburu
puncak kekuasaan, kesudahannya hukum hudud ditinggalkan, Putrajaya
diutamakan.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan