
Najib Tun Razak berkata sesuatu kepada
Dr. Mahathir Mohamad pada majlis Rumah Terbuka Dr. Mahathir dan Dr.
Siti Hasmah Mohd. Ali di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam. Turut
sama, Rosmah Mansor. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN
*****
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan DAP Pulau Pinang mahu
membentangkan undang-undang anti lompat parti sebagai satu bentuk
menyekat kebebasan seseorang individu itu.
Sambil mempersoalkan tindakan tersebut, tegas Dr. Mahathir,
undang-undang itu tidak perlu memandangkan pergolakan dalaman parti
bukan hanya berlaku di pihak DAP malah UMNO, Pas dan juga Parti Keadilan
Rakyat (PKR).
"Pergolakan dalaman parti memang berlaku. Dalam UMNO ada, Pas ada,
Keadilan (PKR) ada, DAP pun ada. Sebab itu dia (DAP) nak buat
undang-undang anti lompat.
"Tapi undang-undang itu tak kena kerana kita bebas. Kita nak liberal,
boleh cakap apa-apa. Itu kebebasan kita. Pasal apa nak sekat kebebasan
orang yang nak lompat (parti)," kata beliau.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah
terbukanya dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di kediaman mereka
di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri,
Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Beliau mengulas keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk
membentangkan undang-undang anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri
yang akan berlangsung November ini.
Menjawab soalan mengenai permohonan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk
mengemukakan sapina kepada beliau supaya hadir ke mahkamah sebagai
saksi perbicaraan kes hasutan ketika perdebatan pindaan Perlembagaan
Persekutuan pada 1993, katanya, beliau bersedia untuk disapina.
"Boleh dia (Karpal) nak sapina. Tapi undang-undang yang kita luluskan
adalah berkenaan dengan tindakan raja-raja Melayu luar daripada tugas
rasmi mereka (baginda). Dalam tugas rasmi mereka, kita tak boleh ambil
tindakan.
"Hanya kalau mereka bertindak di luar daripada tugas rasmi dan
menyalahi undang-undang, barulah boleh ambil tindakan. Bukan sebarang
tindakan boleh diambil," tegasnya.
Beliau turut meminta Karpal menunjukkan hansard sewaktu debat pindaan Perlembagaan itu yang merujuknya melakukan hasutan.
"Mengapa nak serang saya? Saya sudah tiada kuasa. Inilah mereka yang selalu mendahului politik kebencian.
"Pembangkang cipta kebencian terhadap kerajaan. Apa yang baik dilakukan kerajaan, mereka lupa.
"Mereka menang kerana faktor kebencian itu. Contohnya kita berjaya
atasi krisis ekonomi. Mengapa ia tidak disebut mereka? Tetapi sudah
tentu (kalau sebut) rakyat tak akan benci kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau kesal kerana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) gagal berfungsi dengan baik dalam menangani isu di Syria.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan