6 September 2012

Anwar cuba campuri urusan Pas - Ismail Mina

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mempengaruhi pucuk pemimpin Pas berhubung kedudukan Nasharudin Mat Isa yang akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Syura Ulama Pas, 9 September ini.
Presidennya, Ismail Mina Ahmad (gambar) berkata, Anwar telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 31 Ogos lalu bagi memastikan usahanya untuk menyingkirkan bekas Timbalan Presiden Pas itu mencapai matlamat.
"Tindakan tersebut perlu dibuat Anwar bagi membolehkan beliau dapat menguasai Pas dengan sepenuhnya.
"Anwar mempunyai perasaan tidak senang terhadap Nasharudin kerana beliau begitu lantang menentang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok itu juga menggesa pucuk pimpinan parti menyatakan pendirian berhubung penolakan konsisten DAP dan Pengerusinya, Karpal Singh terhadap cita-cita untuk menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Pendirian Nasharudin yang teguh dalam isu Islam, hukum hudud dan pandangan terhadap Karpal, tidak disenangi Anwar serta pemimpin pakatan pembangkang lain.
Ismail Mina berkata, dalam hubungan ini, Pas perlu menyokong Nasharudin dan mengikut jejak pemimpin ulama mereka seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Haron Din.
"Pas tidak harus dengar permintaan Anwar tetapi perlu membuat keputusan berhubung kedudukan Nasharudin mengikut kepentingan parti.
"Pas mempunyai pemimpin sendiri dan hierarki. Jadi mengapa perlu mengikut apa yang Anwar arahkan mereka buat?
"Ahli Majlis Ulama Syura Pas juga perlu membuat keputusan yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Buatlah keputusan yang sewajarnya," ujar beliau.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

Tiada ulasan: