MACHANG 6 Sept. - Barisan Nasional (BN) akan membawa perubahan di
Kelantan dengan Islam dijadikan model kemajuan dan kehebatan, bukannya
sebagai modal politik jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN dan UMNO
tidak mahu Islam dan hukum hudud hanya dipergunakan pada musim pilihan
raya sebagaimana dilakukan oleh Pas yang sehingga kini gagal menunaikan
janji-janji mereka selepas diberi mandat oleh rakyat.
Justeru katanya, BN bersedia memasukkan apa sahaja kehendak rakyat
Kelantan seperti penyelesaian masalah air, pembinaan lebuh raya dan
stadium dalam manifesto parti itu pada pilihan raya akan datang serta
akan berusaha menunaikannya jika diberi mandat.
"Saya ingin melihat perubahan di Kelantan, kita akan bawa perubahan,
Islam sebagai satu model, kita bawa Islam dengan kemajuan, kehebatan,
kedua-duanya akan diperjuangkan oleh kerajaan BN. Kita tak mahu bawa
Islam yang dilihat tidak membawa maruah, tak mahu Islam yang mana hukum
hudud dijual sebagai modal pada pilihan raya.
"Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata, kalau
menang di Terengganu fajar menyingsing ayam berkokok hudud akan
dilaksanakan, ayam tersebut semakin tua dah, sampai sekarang tak buat
hudud.
"Kita tak boleh jual beli hudud, hukum Allah. Kalau betul-betul nak
Islam kenapa bersekongkol dengan DAP? DAP sayang, hormat Islam? Kita
UMNO perjuang, martabatkan Islam," katanya ketika berucap pada Majlis
Jom Beraya Bersama Perdana Menteri di padang Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Hamzah di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua UMNO
Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua UMNO Bahagian
Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan
Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan
negeri, Datuk Ismail Saamah.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan kepada 200
rumah penduduk miskin yang akan dibaiki dalam waktu terdekat, selain
pemberian duit raya kepada 40 anak-anak yatim Asrama Bakti di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mempersoalkan
cara Pas yang kononnya memperjuangkan Islam menangani isu bekas Timbalan
Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa hanya kerana pemimpin terbabit
bersama-sama kerajaan memperjuangkan kepentingan Islam dan umat Islam.
Sedangkan kata Perdana Menteri, Pas sebenarnya boleh berpakat dengan
kerajaan dalam isu tertentu sebagaimana ditunjukkan oleh Menteri Besar
Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
turut mengutuk tindakan biadab peserta Himpunan Janji Hijau melondehkan
seluar dan memijak gambar beliau.
"Saya telah menulis surat peribadi menyatakan terima kasih kepada
Tuan Guru Nik Aziz, ini bermakna dalam perjuangan kita mesti ada
prinsip, kalau ada perbezaan pendapat atau masalah atas isu tertentu
kita boleh berpakat, atas isu kepentingan umat Islam, masa depan dan
perpaduan umat Islam kita boleh berpakat," katanya.
Jelas Perdana Menteri lagi, Malaysia dihormati oleh dunia dan
dianggap model terbaik oleh banyak negara Islam termasuk Mesir yang mahu
menjalin kerjasama erat dengan negara ini.
"Jadi percayalah kita berada di landasan yang benar dan betul, dunia
akui dasar transformasi nasional kita baik, kita jadi negara maju pada
2020," katanya.
Jika pada malam ambang kemerdekaan, gambar beliau dipijak oleh
sekumpulan kecil individu, tetapi di negeri kubu kuat pembangkang ini,
Datuk Seri Najib Tun Razak disambut meriah lebih 30,000 orang yang
majoritinya memakai baju merah.
Orang ramai turut membawa dan mengangkat gambar Perdana Menteri dan
sepanduk 'Saya Sayang PM' sebagai tanda sokongan kepada pemimpin
tertinggi negara itu.
Sementara itu, Awang Adek dalam ucapannya berkata, sambutan tersebut
membuktikan rakyat di negeri ini menyokong penuh kepemimpinan Perdana
Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan