BAJET 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini. Bajet kali ini
berlatar belakangkan antisipasi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang
dinanti-nantikan pengundi. Sentimen pengundi yang mengharapkan kedudukan
sosioekonomi yang lebih baik dilihat akan terus mendapat keutamaan
dalam bajet kali ini.
Turut melatari bajet kali ini ialah kedudukan kewangan Kerajaan
Pusat. Sudah 15 tahun Kerajaan Pusat membentangkan bajet defisit. Adalah
penting bagi kerajaan untuk menilai kembali kedudukan pendapatan dan
prioriti perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Satu kerangka
transformasi belanjawan perlu dirangka ke arah mewujudkan bajet seimbang
sebelum 2020.
Kedudukan defisit yang telah berlarutan lebih sedekad tidak boleh
dibiarkan. Mengambil kira sensitiviti dan sentimen global yang semakin
meningkat terhadap kedudukan defisit dan hutang banyak negara, satu
langkah merasionalisasikan bajet perlu dibuat. Langkah ini akan
meletakkan asas makroekonomi Malaysia ke arah yang lebih utuh.
Anggaran perbelanjaan operasi negara bagi 2012 ialah 78 peratus
berbanding perbelanjaan pembangunan sebanyak 22 peratus daripada RM232.8
bilion jumlah perbelanjaan pusat.
Untuk memacu negara sebagai sebuah negara maju, kita berharap agar
dalam Bajet 2013, agihan yang lebih besar akan dibuat untuk perbelanjaan
pembangunan manakala perbelanjaan operasi negara dapat dikurangkan.
Keutamaan untuk meningkatkan kapasiti modal negara memerlukan
peruntukan pembangunan yang lebih besar. Kita perlu menyediakan Malaysia
dengan prasarana dan infrastruktur yang akan menjana pertumbuhan
ekonomi yang mapan dan kehidupan sosial yang seimbang.
Meskipun maklum akan kedudukan bajet yang tidak seimbang seperti yang
telah dijelaskan, selaku pembayar cukai, kita tetap mengharapkan agar
kadar cukai individu dapat dikurangkan atau lebih banyak rebet dapat
diberi bagi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.
Pihak syarikat juga mengharapkan agar cukai syarikat dapat
dikurangkan, mengambil kira pelaksanaan gaji minimum yang terpaksa
dibuat.
Untuk bajet kali ini, kita juga berharap agar kerajaan dapat merangka
plan transformasi perumahan negara. Keadaan dan suasana perumahan di
Malaysia perlu dinaik taraf selaras dengan taraf sebuah negara maju. Ini
termasuklah langkah untuk merasionalisasikan harga rumah yang semakin
membebankan terutamanya buat golongan yang baru bekerja. Pemilikan rumah
sebagai - Impian 1Malaysia - perlu menjadi keutamaan.
Kita juga mengharapkan soal keselamatan dan integriti sosial negara
akan mendapat perhatian yang lebih serius. Isu jenayah dan kebocoran
sempadan negara perlu dibendung. Komitmen kerajaan dalam membanteras
rasuah juga perlu terus diperkukuh.
Penerapan nilai kemasyarakatan yang bersatu-padu dalam memastikan
keamanan persekitaran perlu dirangka. Sama ada soal jenayah dan
keselamatan merupakan suatu persepsi atau suatu realiti, usaha untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat perlu mengambil kira
kedua-dua aspek tersebut.
Perkara lain yang menjadi harapan ramai ialah supaya kos hidup di
Malaysia dapat diperbaiki. Selain soal harga rumah dan harga keperluan
asas harian lain, kita menanti dengan penuh harapan akan Dasar Automotif
Nasional 2. Yang kita harapkan ialah pasaran automotif negara akan
lebih kompetitif dengan rakyat dapat membuat pilihan yang pelbagai pada
harga yang lebih rendah.
Juga kita mengharapkan bajet kali ini akan menjadi asas ke arah
transformasi ekonomi hijau buat Malaysia. Bukan sahaja polisi industri
yang mesra alam perlu diperkemas, langkah pemuliharaan dan pemeliharaan
sumber alam negara perlu diperjitukan. Kita tidak mahu alam semula jadi
kita rakus diancam oleh perosak tanpa melihat kepada nilai keasliannya
yang tidak ternilai.
Semoga Malaysiaku terus makmur.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan