AKSI peserta Himpunan Janji Bersih mendakwa Jalur Gemilang sebagai
Jalur Malang, mengedarkan risalah menukarkannya dengan Sang Saka Malaya,
memijak dan duduk seperti 'meneran' potret pemimpin negara pada malam
Ambang Merdeka di Dataran Merdeka sempena sambutan ulang tahun
kemerdekaan ke-55 memperlihatkan makna patriotik yang silap dan penuh
kebiadapan.
Anak muda yang dipengaruhi oleh cita-cita politik pihak tertentu itu
cuba mentakrifkan semula makna patriotik kepada tindakan menentang atau
memusnahkan ikon negara kerana ia dilihat tidak membawa aspirasi sebenar
yang mereka mahukan.
Pemimpin yang mengakui dirinya sebagai pembela dan pejuang rakyat itu
sebenarnya sedang berhempas pulas mengeksploitasi anak muda bagi
menjamin kepentingan diri dapat dicapai menerusi percubaan menimbulkan
kekeliruan dan kekecohan. Sebelum itu mereka mempamerkan pertentangan
yang keterlaluan apabila menukarkan tema sambutan "Janji Ditepati"
menjadi "Sejiwa, Sebangsa dan Senegara" yang begitu puitis dan mujarad
(abstrak).
Tidak menghormati lambang negara dan memijak potret pemimpin mula
menjadi peraturan baharu dalam ketinggian falsafah perjuangan
pembangkang atas alasan ikon-ikon itulah yang menjadi punca kepada
pelbagai kemelut termasuk politik. Dakwaan tersebut adalah paling daif
dalam sejarah dan mempamerkan nilai budaya berundur ke belakang seperti
kehidupan masa jahiliyah. Menghormati dan mempertahankan bendera yang
sah bagi sesebuah negara merupakan nilai yang tidak bercanggah dengan
peraturan Islam.
Sejarah Perang Uhud misalnya mempamerkan kekentalan semangat Mus'ab
bin Umayr mengangkat panji Islam itu sambil bertakbir dengan nyaring.
Sebelah tangan sentiasa memastikan bendera tentera Islam terus berkibar
manakala sebelah tangan lagi menghunus pedang melawan musuh. Semangat
juang Mus'ab yang tinggi itu menyebabkan seorang tentera berkuda
Quraisy, Ibn Qamiah meluru ke arahnya kerana menyangka pembawa panji itu
adalah Rasulullah SAW lalu menetak tangan kanannya yang memegang
bendera.
Mus'ab tidak membenarkan bendera itu jatuh ke tanah, lalu disambutnya
dengan tangan kiri dan tidak lekang melakukan takbir. Ibn Qamiah
menjadi bertambah marah dan menetak pula tangan kiri, tetapi Mus'ab
terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan leher dan kedua-dua
lengannya yang kudung. Mus'ab akhirnya terbunuh setelah ditikam oleh Ibn
Qamiah dengan menggunakan tombak. Kesungguhan Ibn Qamiah membunuh
Mus'ab yang disangkakan Rasulullah SAW kerana mempunyai rupa paras yang
seiras.
Setelah Mus'ab terbunuh, beberapa orang sahabat al-Rum, Amir ibn
Rabiah dan Suwaibit berusaha mempertahankan bendera itu daripada
mencecah tanah. Al-Rum yang juga adik kepada Mus'ab berjaya menyambut
bendera itu. Peristiwa itu memberikan penjelasan, bendera merupakan
salah satu ikon yang mewakili sesebuah negara dan menghormatinya
bukanlah tindakan bertentangan dengan Islam.
Bendera juga digunakan sebagai simbol penghormatan negara kepada
wira-wira yang terkorban dalam mempertahankan negara daripada ancaman
musuh, termasuk sebagai penghormatan terakhir kepada seseorang
negarawan.
Dalam satu hadis sahih, terdapat tiga jenis 'pejuang' yang dilaporkan
kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu pejuang atas dasar kesukuan dan
fanatisme, berjuang atas kepentingan kebendaan dan terakhir adalah
pejuang atas dasar mencari populariti. Baginda kemudiannya ditanya:
Siapakah di antara mereka itu boleh dikategorikan sebagai pejuang
sejati?
Rasulullah SAW kemudiannya menolak kesemua jenis pemimpin yang
dikatakan sebagai 'pejuang' itu. Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa berjuang untuk meninggikan "Kalimah Allah SWT", maka itulah
pejuang sejati." Berdasarkan tafsiran Sayyid Qutb, maksud "Kalimah
Allah SWT" adalah kebenaran (al-haqq), kebaikan yang bersifat umum dan
universal (al-khair), dan keadilan yang bersifat mutlak ('adl
al-muthlaq).
Kebenaran yang dikategorikan sebagai "Kalimah Allah SWT" adalah
kebenaran mutlak dan bersifat objektif. Ini membawa maksud, usaha
segelintir golongan muda yang ingin menukarkan lambang negara itu bukan
sahaja tidak menyentuh mengenai kebenaran mutlak, bahkan terlalu besar
pembohongan apabila mendakwa "Sang Saka Malaya" merupakan bendera asal
Malaysia ketika menuntut kemerdekaan.
Berdasarkan fakta sejarah, hanya kumpulan yang mendokong perjuangan
politik Melayu kiri sahajalah yang menggunakan "Sang Saka Merah Putih"
sebagai usaha mempamerkan penyatuan dengan semangat Indonesia Raya
ketika berusaha menuntut kemerdekaan.
Perjuangan politik kiri itu bukanlah merupakan kelompok diterima oleh
kebanyakan rakyat, kerana pertubuhan-pertubuhan politik kanan sudah
memperoleh sokongan besar rakyat termasuk bukan Melayu untuk
menggabungkan diri dalam Perikatan.
Pengertian kedua sebagai 'kebaikan yang bersifat umum dan universal',
menurut tafsirannya bermakna sesuatu yang disukai dan diterima semua
orang dalam setiap waktu dan keadaan. Ini bermakna, usaha menukar Jalur
Gemilang dengan Sang Saka Malaya adalah sesuatu yang bertentangan dan
tidak boleh diterima kerana bendera itu sebenarnya belum lagi diterima
secara sah, ia hanya sekadar ciptaan individu tertentu yang masih
bersifat peribadi. Bahkan ciptaan tersebut belum diterima sebagai
lambang sah oleh parti berkenaan secara meluas.
Maknanya, perjuangan untuk menukarkan bendera dan menamakan Jalur
Gemilang sebagai 'Jalur Malang' adalah tindakan yang melanggar kehendak
umum dan boleh ditakrifkan sebagai biadab. Ia ditentang oleh bilangan
yang lebih banyak dan belum pun dipersetujui oleh sebahagian yang
menyertai Himpunan Janji Bersih secara mutlak. Ia hanyalah mewakili
beberapa individu yang sengaja ingin mencetuskan kontroversi agar
diberikan perhatian.
Kelompok ini merupakan hero yang silap. Mereka yang berkempen
menukarkan bendera tersebut tidak mempunyai kapasiti dan akauntabiliti,
kerana mereka sebenarnya sedang berkecamuk dengan kerendahan moral serta
kekeliruan makna mengenai patriotik.
Makna ketiga adalah keadilan yang mutlak. Keadilan adalah nilai
tertinggi dan amat dekat dengan takwa. Keadilan adalah nilai tertinggi,
yang terletak antara hukum keseimbangan dan hukum kosmik. Manusia
diharamkan mencabar hukum keseimbangan kerana ia boleh mendatangkan
keadaan tidak stabil, konflik dan kekacauan di muka bumi.
Maksudnya, oleh kerana keadaan dalam negara semakin stabil, golongan
yang susah semakin mengecil, setiap orang bebas bergerak tanpa rasa
takut, jaminan undang-undang dan peraturan kepada setiap orang agar
mengekang tindakan berbuat salah, setiap orang bebas memilih dan
berkerjaya, setiap orang berhak membina kehidupannya sendiri, maka
kelompok tersebut berusaha untuk memusnahkan kesemuanya.
Apa pun masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani
melalui usaha individu atau kumpulan secara berasingan. Nabi SAW
menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya pada
jemaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab." (Hadis riwayat
Iman Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).
Mereka yang melakukan penderhakaan itu perlu dihukum dengan hukuman
yang berat, dan setiap ahli masyarakat wajib menolaknya. Ia jelas
memperlihatkan satu tindakan tidak bertamadun keluar daripada syariat
Islam yang sebenar. Mereka bukan membela rakyat dengan kasih sayang,
sebaliknya menghukum rakyat berdasarkan nilai-nilai kehidupan yang salah
dan biadab.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan