
PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul pada
1963 yang diraikan oleh masyarakat Islam daripada pelbagai latar
belakang di Kuala Lumpur.
*****
KEBANYAKAN gambar lama hitam putih menyimpan memori yang tersendiri.
Dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia, Muzium kesenian Islam Malaysia
telah membuka sebuah pameran berkaitan dengan Jalur Gemilang bersempena
dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia ke-49 pada
tahun ini.
Jalur Gemilang sering menjadi latar belakang bagi setiap program
negara dan dikibarkan di setiap tempat sewaktu perayaan atau sambutan
peringkat kebangsaan. Pada kali ini Jalur Gemilang telah dijadikan
sebagai asas cerita di dalam pameran fotografi yang amat ringkas dan
menarik. Terdapat 55 keping gambar lama yang telah dibahagikan mengikut
warna dan bentuk di atas Jalur Gemilang.
Kuning menjadi bahagian pertama pameran bersesuaian dengan makna yang
dibawa oleh warna kuning yang melambangkan raja-raja Melayu.
Gambar-gambar yang dipamerkan menunjukkan gambar raja-raja Melayu yang
pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas sebagai ketua
negara.
Bahagian kedua mengetengahkan warna merah yang melambangkan
keberanian. Di sini keberanian dibahagikan kepada dua. Pertama,
keberanian rakyat Tanah Melayu untuk berubah dari segi sosiobudaya dan
ekonomi. Kedua ialah keberanian untuk mempertahankan kedaulatan negara
dari ancaman luar. Untuk mengiktiraf dan menghargai keberanian yang
ditunjukkan oleh golongan muda yang terdiri daripada kanak-kanak dalam
membantu dan menyelamatkan orang lain dalam keadaan kecemasan, anugerah
pingat Hang Tuah telah diperkenalkan.
Dari 1960 sehingga 1977 seramai 30 kanak-kanak dari pelbagai kaum
yang tinggal di negara ini telah menerima pingat Hang Tuah. Di dalam
galeri dipamerkan gambar seorang kanak-kanak bernama Chang Haa yang
sedang dianugerahkan pingat Hang Tuah pada tahun 1965 kerana telah
menyelamatkan dua orang budak lelaki daripada lemas di Sungai Chendering
, Perak.
Warna biru pula melambangkan perpaduan dilengkapkan dengan
gambar-gambar yang menunjukkan interaksi dan budaya masyarakat berbilang
kaum di Malaysia yang penuh kemesraan di dalam kehidupan seharian.
Warna putih menyemarakkan nilai-nilai murni yang dipupuk dan
diajarkan kepada anak-anak Malaysia semenjak dari kecil seperti
menghormati orang tua, sifat tolong menolong, pemurah dan berbudi
bahasa. Nilai-nilai murni yang dipupuk dan dibaja di dalam jiwa setiap
anak-anak Malaysia ini kemudiannya telah diteruskan setelah mereka
dewasa dengan melebarkan bantuan kepada masyarakat antarabangsa yang
memerlukan.
Bulan sabit mewakili agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia,
manakala bintang pecah empat belas dan jalur melintang melambangkan
negeri-negeri yang berada di dalam Malaysia.
Pameran ini diakhiri dengan sebuah garis masa yang menunjukkan
sejarah fotografi di Malaysia. Pameran ini dibuka kepada orang ramai
dari 29 Ogos hingga 29 November di Galeri Khas 1, Muzium Kesenian Islam
Malaysia.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan