ALOR SETAR 10 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
cawangan Kota Setar mendesak agar Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
memohon maaf secara terbuka kerana melemparkan fitnah terhadap
pertubuhan berkenaan.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, pihaknya turut
membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini pada pukul 11
malam ini bagi membolehkan polis memulakan siasatan dan mengambil
tindakan terhadap tuduhan palsu oleh Mahfuz.
"Mahfuz dalam kenyataannya kepada akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Sinar Harian telah menuduh tanpa bukti bahawa ahli-ahli Perkasa telah membaling kasut di dalam Masjid Al-Hussin, Pumpong Alor Setar.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah itu yang
bertujuan mencemar nama baik dan menjatuhkan reputasi Perkasa," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian 2 September lalu, Mahfuz menuduh ahli-ahli Perkasa
membaling kasut ke arah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
ketika beliau menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan.
Mohd. Yusof berkata, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena secara
terang-terangan berbohong kerana kejadian baling kasut itu tidak pernah
berlaku.
"Kita minta Mahfuz memohon maaf secara terbuka atau melalui media massa kerana fitnah tersebut," tegasnya.
Beliau berkata, laporan polis berkenaan dibuat oleh Ketua Penerangan
Perkasa Kota Setar, Muhammad Nizam Madowan dengan diiringi Naib
Ketuanya, Muhamad Najib Abdul Rahman; Setiausahanya, Syukri Yaakob dan
ahli-ahli Perkasa.
/hwa: utusan.com.my | 11/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan